Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 9 pagi esok bagi menghadapi pertuduhan.

Memetik laporan MalaysiaGazette, prosiding pembacaan pertuduhan itu akan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin.
Sebelum ini, Ismail Sabri sepatutnya didakwa pada 7 Ogos lalu, namun prosiding tersebut terpaksa ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menerima rawatan.
Selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), prosiding pendakwaan terhadap Ismail akan diteruskan di Mahkamah Sesyen pada Khamis.
Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili pemimpin UMNO berusia 66 tahun itu turut mengesahkan anak guamnya kini berada dalam keadaan baik.
Sebelum ini, beliau hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi proses pendakwaan. Bagaimanapun, keadaan kesihatannya merosot sebelum beliau dikejarkan ke IJN.
Peguamnya ketika itu memaklumkan anak guamnya mengalami masalah degupan jantung tidak sekata dan memerlukan pemeriksaan lanjut.

Susulan keadaan tersebut, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan untuk menangguhkan prosiding atas faktor kemanusiaan.
Hakim Suzana kemudiannya menetapkan 27 Ogos sebagai tarikh baharu bagi prosiding pembacaan pertuduhan serta pengambilan pengakuan.
Pada tarikh asal, pertuduhan terhadap Ismail Sabri sudah didaftarkan, namun belum dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan.
Ismail Sabri turut dilaporkan menjalani prosedur pemasangan alat perentak jantung (pacemaker) di IJN pada hari sama sebelum dibenarkan berehat bagi menjalani tempoh pemulihan.
Terdahulu, beliau telah beberapa kali dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung isu pengisytiharan harta.
Siasatan berkenaan antara lain dikaitkan dengan dakwaan salah guna dana bagi tujuan promosi dan publisiti ketika beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.
Dalam siasatan sama, SPRM sebelum ini turut menyita wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta jongkong emas.
Artikel lain: Hishammuddin ziarah Ismail Sabri, titip doa segera kembali pulih
Bagaimanapun, butiran sebenar pertuduhan yang dihadapi Ismail Sabri hanya akan diketahui selepas ia dibacakan di mahkamah esok.
Prosiding tersebut dijangka menjadi penampilan pertama Ahli Parlimen Bera di mahkamah untuk menghadapi pertuduhan selepas proses pendakwaannya sebelum ini ditangguhkan berikutan keadaan kesihatan beliau.
Sumber: MalaysiaGazette (Kasthuri Jeevendran)
