KUALA LUMPUR: Yayasan Eco World menyumbangkan RM115,000 kepada Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bagi menyokong Peralatan Penjagaan Luka dan Projek Angkat Prostesis.
Daripada jumlah itu, kira-kira RM68,000 diperuntukkan bagi Peralatan Penjagaan Luka, manakala RM47,000 untuk Projek Angkat Prostesis yang memberi manfaat kepada lima pesakit daripada golongan kurang berkemampuan.
Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, di sebalik setiap sumbangan terdapat individu, keluarga dan kisah harapan untuk pulih.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu HRC memperkukuh keupayaan penjagaan luka, khususnya dalam mengendalikan kes luka kronik dan kompleks.
“Usaha ini dapat meningkatkan kadar penyembuhan, mengurangkan risiko jangkitan dan komplikasi serta akhirnya membantu mencegah kes yang memerlukan amputasi,” katanya pada Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan dan Anggota Prostetik kepada HRC) di sini hari ini.
Sumbangan itu turut menyokong Projek Angkat Prostesis yang akan menyediakan anggota prostetik kepada lima pesakit daripada golongan kurang berkemampuan, termasuk kanak-kanak dan golongan muda.
Beliau berkata, kehilangan anggota badan bagi kanak-kanak atau golongan muda memberi kesan lebih besar daripada sekadar fungsi fizikal, termasuk terhadap keyakinan diri, pendidikan, kehidupan sosial, pergerakan dan aspirasi masa depan.
“Anggota prostetik mungkin kelihatan seperti alat bantuan fizikal yang ringkas, namun ia membawa makna yang jauh lebih besar iaitu peluang untuk bergerak, berdikari, kembali menjalani kehidupan seharian dan keyakinan untuk melihat masa depan dengan lebih positif.
“Pendekatan tanggungjawab sosial Yayasan Eco World bukan sekadar menyediakan bantuan, sebaliknya bertujuan mewujudkan peluang sama rata, memulihkan harapan dan memberi impak berkekalan kepada masyarakat tanpa mengira agama atau kaum.
“Kami percaya usaha seperti ini hanya mampu memberi impak lebih besar menerusi kerjasama erat antara yayasan, institusi penjagaan kesihatan, golongan profesional perubatan dan masyarakat,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada HRC atas pencapaiannya sejak ditubuhkan pada 2018 dan berharap sumbangan itu dapat menyokong perkembangan berterusan hospital berkenaan dari segi kapasiti, kepakaran serta kualiti perkhidmatan penjagaan luka.
Ditubuhkan pada 2018 dengan memberi tumpuan awal kepada rawatan asas luka, Unit Penjagaan Luka HRC kini berkembang dengan ketara dan dilengkapi kemampuan mengendalikan kes luka yang lebih kompleks menerusi pendekatan penjagaan luka termaju.
Jumlah pesakit yang menerima rawatan meningkat dengan ketara daripada 647 pada 2020 kepada 2,401 pada 2025.
Unit itu turut berperanan sebagai pusat latihan bagi pakar perubatan yang mengikuti bidang penjagaan luka, sekali gus mencerminkan peranan gandanya dalam rawatan pesakit dan pembangunan kepakaran perubatan.
Pengarah Hospital Rehabilitasi Cheras, Dr Faizul Nizam Abu Salim berkata, peralatan yang disumbangkan akan digunakan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan rehabilitasi serta meningkatkan kualiti rawatan dan proses pemulihan pesakit di HRC.
“Kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta seperti ini menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara.
“Kerjasama erat dengan rakan strategik bukan sahaja membantu melengkapkan keperluan fasiliti hospital, malah memberi impak ketara terhadap pengalaman dan kesejahteraan pesakit serta keluarga mereka,” katanya. – UTUSAN

