Kuala Lumpur: Belum sempat ditayangkan, drama terbaharu arahan penerbit sensasi, Erma Fatima berjudul Pondan Ini sudah mencetuskan kontroversi.
Baru sahaja berkongsi teaser berdurasi 45 saat di Instagram (IG), Erma dituduh cuba menormalisasikan golongan transgender dan mempromosikan gaya hidup songsang menerusi karyanya yang bakal disiarkan di platform Karya Reels.
Malah, tindakan Erma mengetengahkan pelakon transgender sebagai watak utama turut menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen yang berpendapat seolah-olah tiada jalan cerita lain yang lebih baik untuk diangkat sebagai pengajaran buat penonton.
Mengulas kecaman itu, Erma berkata dia tidak terkejut mahupun marah kerana sudah terbiasa berdepan kritikan apabila menghasilkan karya di luar kebiasaan.
“Apabila menyentuh isu tabu, pastinya karya dikecam. Orang tidak mencari kebaikan drama itu, sebaliknya hanya meneliti keburukan. Perkara ini sudah saya lalui dalam drama terbitan terdahulu seperti Bida’ah dan Keluarga Itu,” katanya.
Erma turut menjelaskan keputusan memilih transgender sebenar sebagai pelakon adalah bagi memberi gambaran lebih realistik.
“Saya memang mahu pondan sebenar, bukan lelaki yang dipakaikan seperti perempuan. Saya bertanya kepada kawan-kawan dan nama Hunny dicadangkan. Pada mulanya dia enggan, namun akhirnya bersetuju kerana tiada pilihan lain,” jelasnya.
Walaupun dituduh cuba menormalisasikan golongan LGBTQ, Erma mengharapkan masyarakat wajar menonton karya itu sepenuhnya sebelum membuat sebarang kesimpulan.
“Mereka hanya tonton trailer 15 saat. Tonton sampai habis baru faham mesej sebenar. Tidak perlu saya layan kritikan dangkal,” ujarnya.
Dalam pada itu, ada pihak mempertikaikan kelas agama yang pernah diikuti Erma, namun pada masa sama dia tampil dengan karya sensasi.
Menjawab isu itu, Erma berkata perjalanan rohaninya tidak wajar dijadikan kayu ukur untuk menilai karyanya.
“Pergi kelas agama tidak menjadikan saya maksum. Saya manusia biasa yang ada salah dan silap. Jangan hakimi saya seolah-olah suci hanya kerana menghadiri kelas agama,” katanya.
Berkongsi mengenai ketahanan dirinya berdepan kritikan, Erma enggan membiarkan emosi menguasai diri, sebaliknya dia memaklumkan fokus utamanya adalah perjuangan dalam karya.
“Apa yang penting adalah niat dan perjuangan saya. Kalau teguran itu baik, saya terima. Kalau melampau, saya ketepikan. Kutukan tanpa asas tidak perlu saya layan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




