AS lancar gelombang serangan baharu ke atas Iran

AS lancar gelombang serangan baharu ke atas Iran

Washington: Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Ahad memaklumkan pihaknya melancarkan gelombang serangan baharu terhadap Iran selepas beberapa sekutu Washington di rantau Teluk menjadi sasaran bedilan susulan pertempuran yang kembali tercetus di Selat Hormuz.

Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) menerusi platform X memaklumkan serangan terbaharu itu bermula pada 5 pagi Isnin (waktu Malaysia) selepas mengumumkan pelaksanaan kira-kira 140 serangan pada malam sebelumnya.

Peningkatan ketegangan itu adalah perkembangan terbaharu yang menggugat perjanjian sementara antara Washington dan Tehran yang sebelum ini bertujuan menamatkan konflik kedua-dua negara, sekali gus mencetuskan kejutan kepada ekonomi global sejak perang bermula pada penghujung Februari lalu.

Harga minyak yang sebelum ini merosot susulan pengumuman perjanjian berkenaan, melonjak lebih 3.5 peratus apabila dagangan niaga hadapan dibuka di Tokyo pada Isnin dengan penanda aras minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) melepasi paras AS$74 (kira-kira RM301) setong.

Iran melaporkan serangan pada malam Ahad di dua pulau di bahagian selatan negara itu, manakala Kuwait yang sebelum ini berulang kali menjadi sasaran Tehran kerana menempatkan fasiliti ketenteraan AS memaklumkan beberapa pos sempadan dan pelantar minyak luar pesisir turut diserang.

Pertempuran yang kembali memuncak itu tercetus selepas Iran melancarkan serangan terhadap sebuah kapal komersial di Selat Hormuz pada awal Ahad, menyebabkan anak kapal terpaksa meninggalkan kapal berkenaan selepas ia terbakar.

Agensi berita rasmi Iran, IRNA melaporkan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran kemudian mengumumkan bahawa “Selat Hormuz akan ditutup sehingga diberitahu kelak dan sehingga campur tangan Amerika di rantau ini berakhir”.

Bagaimanapun, CENTCOM menolak kenyataan itu menerusi platform X dengan menegaskan Selat Hormuz kekal dibuka kepada semua kapal yang melakukan transit secara sah.

Pihak pengantara dilaporkan terus berusaha menyelamatkan rundingan diplomatik bagi menamatkan konflik itu selepas Presiden AS, Donald Trump pada minggu ini mengisytiharkan gencatan senjata sudah berakhir.

Kementerian luar Iran menyatakan serangan AS pada Ahad “menyebabkan ketidakstabilan kembali melanda Selat Hormuz” selain “menggagalkan semua usaha” untuk mewujudkan keamanan di rantau berkenaan.

Pada malam Ahad, media rasmi Iran melaporkan sekurang-kurangnya 10 “projektil musuh” mengenai Pulau Qeshm selain serangan di Pulau Farur, di timur Qeshm yang mengorbankan seorang pekerja telekomunikasi dan mencederakan dua yang lain.

Menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan dan wartawan AFP, tindak balas Iran terhadap serangan AS berlaku pantas apabila siren amaran dan letupan kedengaran di Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Jordan dan Oman.

Sementara itu, Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar menggesa semua pihak meredakan ketegangan menerusi dialog dan diplomasi sebagai satu-satunya jalan terbaik untuk menyelesaikan konflik.

Pada masa sama, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres turut menegaskan serangan berkenaan mesti dihentikan serta-merta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top