am@hmetro.com.my
Baling: “Kami baru saja berkumpul malam Jumaat lalu di rumah saya di Kulim kerana ada kenduri tahlil, bacaan Yasin serta doa selamat untuk anak bongsu yang akan melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi (IPT).
“Ketika itu, arwah anak kelihatan ceria, malah turut membantu memasak makanan bersama adik-beradiknya yang lain. Langsung tidak menunjukkan sebarang petanda yang dia akan pergi buat selamanya,” kata Siti Jamaliah Baharom, 59.
Siti Jamaliah adalah ibu kepada Nur Najihah Mohd Zukri, 30, yang maut dalam kemalangan Jalan Parit Panjang-Kuala Ketil dekat Kampung Tembak B, di sini hari ini.
Kemalangan berlaku ketika dia menunggang motosikal untuk menghantar anak keduanya, Muhammad Fathi Rashidi Mohd Zulkifli, 5, ke tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).
Kanak-kanak itu bagaimanapun terselamat dalam kemalangan berkenaan.
Menurut Siti Jamaliah, Nur Najihah adalah anak ketiga daripada enam beradik dan hubungannya dengan ahli keluarga sangat rapat.
Katanya, pertemuan Jumaat lalu adalah yang terakhir buat mereka sebelum dikejutkan dengan pemergian arwah secara tiba-tiba.
“Muhammad Fathi Rashidi tidak alami kecederaan serius, namun trauma dan masih dalam pemantauan pihak Hospital Baling (HB). Saya bersyukur kerana dia selamat,” katanya yang turut bersyukur anak bongsu arwah Muhammad Haziq Hakimi, 3, tidak ikut serta dalam perjalanan itu.
Sementara itu, anak saudara Nur Najihah, Syakila Ramli, 27, berkata, dia mengesan kelainan pada ibu saudaranya itu apabila merajuk selepas memarahi anak sulungnya yang berusia lapan tahun kerana menghilangkan kasut baharu.
“Ketika itu kami berkumpul di rumah datuk di Kuala Ketil dan arwah marah pada anaknya kerana puas dia mencari kasut itu sejak petang semalam tetapi tidak jumpa.
“Disebabkan itu, arwah merajuk pada anaknya dan beritahu dia tidak mahu menggosok pakaian sekolah anaknya selama seminggu. Sebelum ini tidak pernah pula nampak dia bersikap begitu (apabila marah anak),” katanya.
Jenazah Nur Najihah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tembak, Kuala Ketil, selepas bedah siasat selesai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




