Siti Nurhaliza dinobatkan Legenda Muzik Asia Tenggara

Siti Nurhaliza dinobatkan Legenda Muzik Asia Tenggara

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Subang Jaya: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 46, bersyukur dan tidak menduga apabila dirinya dinobatkan sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara sekali gus kekal menjadi penyanyi nombor satu wanita Malaysia.

Pemilihan Siti Nurhaliza untuk memenangi anugerah berprestij itu berikutan kejayaan beliau memenangi kira-kira 300 anugerah sepanjang 30 tahun pembabitannya selaku penyanyi popular di Malaysia hingga kini.

“Alhamdulillah, terima kasih tidak terhingga atas kejayaan ini. Saya pun sebenarnya tidak fikir fasal ini (untuk menang anugerah) kerana sibuk dengan aktiviti dan juga kerja yang perlu diselesaikan.

“Jadi, kalau ada pihak-pihak yang menghargai kerjaya seni saya selama ini, syukur Alhamdulillah kepada rezeki Allah. Ini kerana, saya bekerja selama ini pun atas sebab cinta dan minat terhadap muzik.

“Malah, kejayaan ini saya anggap sebagai suntikan semangat untuk lebih maju lagi pada masa akan datang. Bagi saya, setiap orang boleh melakukan yang terbaik dalam diri dan sumbangan kepada negara,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Siti ditemui selepas acara amal pertandingan Stars On Court Celebrity Pickleball Fun Match anjuran Yayasan Nurjiwa di Grand Pickleball Arena di sini. petang tadi.

Selain pembabitan Siti Nurhaliza, barisan selebriti serta pempengaruh tanah air yang menyertai seperti Sherry Al Hadad, Tracie Sinidol, Anas Ridzuan, Zahid AF, Syamel, Ernie Zakri, Arfie Shah, Shariff Zero, Atu dan ramai lagi.

Ditanya juga pandangannya terhadap kemenangan anugerah diterima, Siti memaklumkan beliau masih aktif menyanyi sampai sekarang bukan semata-mata untuk mendapatkan anugerah tetapi rasa atas cintanya kepada seni.

“Pada masa sekarang, saya sudah berada dalam fasa memberi semula kepada masyarakat dalam apa sahaja yang saya lakukan. Malah, status lagenda itu adalah satu penghargaan yang besar buat saya.

“Bagaimanapun, saya tidak mahulah status itu (legenda Asia Tenggara dinobatkan) membuatkan saya tertekan atau terbeban. Apa yang penting, saya dapat teruskan dengan kerja yang bagus,” ujarnya.

Semalam, menerusi SeaAsia Stats melaporkan nama Siti Nurhaliza direkodkan sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara mewakili Malaysia kerana kejayaan hebat dalam industri seni Malaysia hingga kini.

Selain Siti, nama selebriti Asia Tenggara yang turut tersenarai membabitkan penyanyi popular dan dikenali ramai antaranya Iwan Fals dari Indonesia, Bird Thongchai (Thailand) Regine Velazquez (Filipina), Maria Aires (Brunei Darussalam).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top