London: Aston Villa terus gagal mencari kemenangan pertama musim ini selepas sekadar seri 1-1 menentang Sunderland biarpun beraksi dengan kelebihan seorang pemain.
Kebangkitan Villa sejak kebelakangan ini di bawah kendalian Unai Emery kini terhenti apabila mereka kekal dalam kelompok tiga terbawah dengan hanya tiga mata daripada lima perlawanan pertama.
Anak buah Emery sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk mengutip kemenangan apabila pertahanan Sunderland, Reinildo Mandava, dilayangkan kad merah pada minit ke-33 kerana menyepak Matty Cash.
Selepas empat aksi liga tanpa jaringan, Villa akhirnya memecah kebuntuan menerusi rembatan jarak jauh Cash yang gagal diselamatkan penjaga gol Sunderland, Robin Roefs.
Namun, kelebihan itu hanya bertahan lapan minit apabila Wilson Isidor menyambar bola tandukan ke hadapan oleh Granit Xhaka untuk gol ketiganya dalam tiga perlawanan di Stadium of Light.
Ollie Watkins berpeluang memastikan tiga mata buat Villa, tetapi penyerang England itu gagal menyempurnakan dua peluang terhidang, sekali gus masih tanpa sebarang gol musim ini.
Sunderland yang baru dinaikkan pangkat memulakan kempen dengan baik apabila kini berada di tangga ketujuh hasil empat perlawanan tanpa kalah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




