Kuasai lima bahasa asing dengan aplikasi dibangunkan UPSI

Kuasai lima bahasa asing dengan aplikasi dibangunkan UPSI

suliati@hmetro.com.my

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam inovasi pendidikan dengan memperkenalkan SOVO Kit 2.0.

Ia aplikasi interaktif yang dibangunkan khas untuk mencetus minat kanak-kanak mempelajari bahasa asing.

Ketua penyelidik SOVO Kit 2.0 Dr Mariyati Mohd Nor berkata, aplikasi mesra kanak-kanak yang boleh dimuat turun di platform Android dan Apple itu lengkap dengan paparan grafik berwarna-warni serta elemen interaktif yang menyeronokkan.

Katanya, aplikasi dibangunkan bersama rakan penyelidik iaitu Dr Robe’ah Yusuf, Noraziah Abdul Aziz, Noor Azalina Buang, Tan Lee Na dan Muhammad Hilmi Che Ahamad itu menekankan gabungan ‘bunyi’ dan ‘suara’ yang menghasilkan konsep SOVO sebagai medium utama pembelajaran.

“Dengan menggabungkan latar belakang kepakaran bahasa asing penyelidik membolehkan SOVO Kit 2.0 ini dibangunkan dengan kandungan yang lebih autentik, menyeluruh dan sesuai dengan keperluan pembelajaran kanak-kanak.

“Aplikasi ini turut menawarkan pelbagai latihan bahasa berasaskan kemahiran mendengar, sekali gus membantu kanak-kanak atau pembelajar permulaan memahami asas sebutan dan perbendaharaan kata dengan lebih berkesan,” katanya.

Menariknya, versi terbaharu ini lebih menyeluruh berbanding SOVO Kit 1.0 kerana selain memberi fokus pada kemahiran mendengar, ia kini menawarkan kandungan autentik dalam lima bahasa asing iaitu Perancis, Jerman, Sepanyol, Mandarin dan Jepun.

Justeru itu, Dr Mariyati berharap aplikasi ini memberi manfaat kepada pelbagai pihak.

“Melalui penggunaan kit ini, kami yakin proses pembelajaran bahasa dapat diperkukuh sejak usia muda.

“Ia sekali gus membentuk generasi yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia global,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Profesor Madya Dr

Mazura@Mastura Muhammad menyifatkan projek ini sebagai satu usaha yang bermakna.

Menurutnya, projek itu juga bakal memberi manfaat besar kepada masyarakat khususnya Generasi Z yang lebih cenderung dan terdedah kepada dunia digital dan kepelbagaian bahasa.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan bahasa asing sejak peringkat awal tetapi juga menyemai minat dan keterbukaan generasi muda untuk berinteraksi dalam persekitaran global.

“Saya yakin SOVO Kit 2.0 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kemahiran linguistik generasi muda, selain menyokong aspirasi negara dalam melahirkan masyarakat celik pelbagai bahasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top