Anggota bomba warisi bakat ayah hasilkan parang tradisional

Anggota bomba warisi bakat ayah hasilkan parang tradisional

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kerjayanya secara profesional ialah anggota di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebagai kuartermaster udara kru untuk pesawat AW 189.

Di sebalik pakaian seragam disarungnya tersirat satu sisi bakat diwarisi daripada bapanya sebagai pembuat sarung parang tradisional.

Iskander Zulkarnain Abdul Razak, 52, berkata, ketika zaman kanak-kanak lagi dia sudah biasa melihat bapanya membuat sarung parang tradisional. Namun pada usianya 15 tahun baru terdetik untuk mempelajari kemahiran itu.

Ketika itu dia hanya melihat seni berkenaan sebagai satu ilmu untuk dipelajari dan tidak terfikir untuk meneruskan legasi bapanya.

“Sehinggalah usia saya 35 tahun, saya terdetik mempraktiskan seni pembuatan sarung parang itu dan semakin lama minat itu datang kembali.

“Kemudian, saya mula menerokai cara membuat parang tradisional dengan mempelajarinya daripada orang yang lebih berpengalaman. Sehinggalah kini, sudah 17 tahun saya berada di dalam seni pembuatan parang tradisional,” katanya.

Katanya, pembuatan parang tradisional ialah bukan sahaja memberi tumpuan kepada proses menempa besi sehingga ia mampu menjadi tajam, tetapi hulu parang adalah seni yang perlu diberi perhatian.

“Hulu parang mampu menonjolkan seni yang ada padanya. Jadi, saya pelajari cara untuk menonjolkan ciri-ciri tradisional tempatan hulu parang.

“Ia perlu diperbuat daripada kayu berkualiti. Memberi tumpuan kepada urat-urat kayu asli supaya seni hulu parang itu dapat ditonjolkan dengan baik,” katanya.

Tambahnya, apabila hulu dan sarung parang yang dihasilkan dengan penuh seni serta seirama, senjata itu akan kelihatan amat menarik.

“Saya jual parang dihasilkan kepada pembeli misalnya untuk dijadikan hadiah. Namun apabila melihat hasil yang sudah dibuat, kadang-kala rasa sayang untuk dijualnya.

“Bukan apa kerana membuat sarung dan hulu parang ini memberi satu kepuasan peribadi kepada saya. Prosesnya memerlukan jiwa dan kreativiti. Jadi, apabila ilham peribadi dicurahkan, hasil akhirnya memberikan nilai sentimental kepada saya,” katanya.

Jelasnya, pembuatan hulu dan sarung parang tradisional sebenarnya mempunyai seni tersendiri terutama dari segi ketepatan bentuk yang mampu dihasilkan.

“Setiap pembuat parang tradisional ini ada seni peribadi masing-masing kerana ia bersandarkan kepada ilham peribadi yang dimiliki.

“Ketelitian juga perlu diberi perhatian kerana jika tidak, hasil seni pembuatannya tidak akan menarik terutama dari segi ketepatan bentuk menjadikannya tidak sedap mata memandang,” katanya.

Tambahnya, dia mampu menyiapkan sehingga tiga bilah parang tradisional dalam tempoh seminggu. Akuinya, waktu selepas kerja dan hujung minggu dia hanya berada di bengkel untuk menghasilkan senjata itu.

“Parang tradisional ada peminatnya tersendiri. Termasuk mereka yang ingin menjadikannya sebagai koleksi atau hadiah kepada orang lain.

“Jadi, saya juga sudah mengembangkannya kepada satu set yang menarik jika pembeli ingin menjadikannya sebagai hadiah,” katanya.

Katanya, parang tradisional yang dihasilkan pernah ditempah individu untuk dijadikan hadiah kepada orang ternama.

“Bagi saya membuat parang tradisional ini bukan sahaja menjadi platform untuk mencurahkan kreativiti tetapi memberi jiwa peribadi ke atasnya.

“Selain itu, pembuatannya secara manual dan mengekalkan unsur kayu sebagai satu tanggungjawab kepada saya dalam mempertahankan elemen warisan orang terdahulu dalam pembuatan parang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top