'Bro, kita sangat popular di luar!'

'Bro, kita sangat popular di luar!'

SIRI 2

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Bayangkan anda menjalani kehidupan terasing selama 10 minggu tanpa sebarang akses dunia luar. Tiada telefon bimbit, tiada TV, malah tiada khabar berita daripada keluarga.

Itulah realiti yang dilalui oleh juara sulung Akademi Fantasia (AF1), Vince, yang mengakui ketika itu kesemua peserta benar-benar hidup seperti ‘katak di bawah tempurung’.

Mengimbas kembali memori perpindahan status daripada seorang pemuda biasa kepada bintang paling bersinar di Malaysia pada tahun 2003, Vince menyifatkan pengalamannya di dalam akademi sebagai satu fasa yang sangat melucukan.

Manakala aura populariti yang melanda negara ketika itu langsung tidak dapat dihidu oleh mereka yang berkurung di dalam banglo khas program realiti itu.

Melihat kepada kualiti persembahannya yang konsisten setiap minggu, Vince mendedahkan bahawa tekanan untuk memberikan yang terbaik sentiasa ada.

Dia sering mencuba memberikan nafas baharu kepada setiap lagu tugasan yang diberikan.

“Bagi saya, ia agak melucukan. Ada rakan yang merungut jika saya mendapat lagu yang bagus. Setiap minggu saya akan cuba bawakan lagu itu dengan gaya tersendiri.

“Tekanan itu memang ada. Minggu yang saya sangka saya akan tersingkir ialah minggu saya membawakan lagu Bunyi Gitar.

“Namun, rupa-rupanya pada minggu itulah saya mendapat undian tertinggi walaupun saya bawakan lagu Tan Sri P Ramlee (Allahyarham) itu dengan gaya Elvis Presley,” katanya.

Detik yang paling tidak dapat dilupakan sudah semestinya malam kemuncak di pentas akhir. Vince yang bersaing sengit dengan finalis lain seperti Khai, Azizi, Nija dan Liza, langsung tidak meletakkan harapan tinggi untuk menggenggam trofi juara.

Namun, satu bisikan daripada rakan baiknya, Burn, yang tersingkir awal memberikan petanda mengenai apa yang sedang berlaku di luar sana.

“Semasa pengumuman juara, saya langsung tidak sangka akan menang kerana sorakan penonton sangat seimbang untuk semua finalis.

“Apabila nama saya diumumkan, semua rakan termasuk Khai dan Burn memeluk saya. Sebelum keputusan diumumkan, Burn sempat berbisik, ‘Bro, kita sangat popular di luar!’. Rupanya dia sudah merasai aura populariti itu selepas dia tersingkir lebih awal daripada kami,” katanya.

Kejutan sebenar hanya bermula selepas tamatnya musim itu. Keesokan harinya, pelajar dibawa ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) (sekarang dikenali sebagai WTC) untuk satu majlis, dan di situlah Vince menyedari hidupnya berubah 360 darjah.

Ribuan peminat membanjiri kawasan itu sehingga memerlukan kawalan ketat pihak berkuasa.

Di sebalik kejayaan itu, Vince mengakui proses adaptasi menjadi seorang selebriti bukanlah sesuatu yang mudah.

Latar belakangnya sebagai seorang kanak-kanak yang sering dibuli menjadikan dia seorang yang sukar menerima perhatian dan pujian yang melimpah-ruah secara tiba-tiba.

“Semasa kecil, saya sering dibuli di sekolah kerana saya seorang yang ‘nerd’, bulat dan gemar melukis. Saya bukan budak popular.

“Jadi, apabila tiba-tiba dikenali ramai, saya sukar untuk menerima pujian.

Namun, pengalaman dibuli itu menjadikan saya lebih kuat secara mental,” katanya.

Walaupun mendapat sokongan padu daripada keluarga terutama bapanya yang mementingkan pelajaran, perjalanan seni Vince tidaklah sentiasa berada di puncak.

Dia pernah melalui fasa gelap dalam kehidupan peribadinya yang memaksanya membawa diri meninggalkan negara ini buat seketika.

ESOK: Vince ‘lari’ ke Taiwan kerana putus cinta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top