Lonjak UMS sebagai hub kesihatan planet di Borneo

Lonjak UMS sebagai hub kesihatan planet di Borneo

suliati@hmetro.com.my

Dunia kini berdepan krisis kesihatan tiga serangkai iaitu perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan pencemaran.

Menyedari cabaran besar itu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menganjurkan International Borneo One Health Summer Camp 2025, sekali gus melahirkan barisan pemimpin muda dalam bidang kesihatan planet.

Program anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) universiti berkenaan menghimpunkan 32 peserta dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Bangladesh, Vietnam dan Filipina.

Objektif penganjuran program ini adalah usaha dan memberi mendedahkan peserta kepada keperluan untuk menjadi pemimpin kesihatan ‘planet.’

Memasuki edisi ke-empat, tahun ini Health Summer Camp mengangkat tema Planetary Health Leadership atau pemimpin planet kesihatan.

Pengarah program, Dr Zulkhairul Naim Sidek berkata, kemahiran kepemimpinan dalam bidang kesihatan planet amat penting dalam menghadapi dunia yang penuh cabaran.

“Program ini beri peluang kepada peserta merasai sendiri keadaan di lapangan, sekali gus memberi impak besar kepada pemahaman mereka terhadap isu kesihatan dan alam sekitar,” katanya.

Untuk edisi kali ini, program ini tidak tertumpu di Kota Kinabalu semata-mata, sebaliknya diperluas sehingga ke Sandakan.

Ini sekali gus memberi peluang kepada peserta melawat Rainforest Discovery Centre, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Borneo Sun Bear Conservation Centre.

Dr Zulkhairul Naim berkata, menerusi aktiviti lapangan itu, ia memberikan pendedahan secara langsung kepada peserta.

“Di Kundasang misalnya, mereka melihat sendiri impak perubahan iklim kepada penduduk sekitar.

“Selain itu, edisi kali ini juga menerapkan banyak aktiviti berteraskan ‘experiencial learning’ dan juga ‘enquiry based learning’ selain bukan hanya teori.

“Walaupun apa yang dipelajari hanyalah 10 peratus sahaja namun yang penting semua yang dipelajari dapat dipraktikkan dan disebar.

“Kami juga berharap peserta akan jadi ‘duta kesihatan planet’ di negara masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Datuk Dr Mohd Yusof Ibrahim yang mewakili Naib Canselor berkata, tema program itu bertepatan dengan keperluan global semasa dan selaras dengan komitmen universiti berkenaan terhadap kelestarian alam serta kesihatan sejagat.

“Program ini juga cukup bermakna kerana ia tidak hanya dapat menaikkan imej Sabah sebagai hub biodiversiti dan kajian kesihatan planet tetapi juga memperkukuh UMS sebagai hub kesihatan planet di Borneo,” katanya.

Peserta dari Indonesia, Luthfi Ahmad Muchlashi menyifatkan penyertaannya pada International Borneo One Health Summer Camp 2025 itu memberi pengalaman bermakna.

“Menerusi kem ini, saya dapat membina jaringan antarabangsa dan meningkatkan kesedaran terhadap isu kesihatan serta alam sekitar rantau ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top