Pelakon Fadlan Hazim meluahkan rasa kecewa apabila selepas bertahun mencuba serta mencari ruang dalam dunia lakonan namun merasakan seperti tidak dihargai.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Fadlan berkata dia sudah penat kerana selepas sekian lama memberi sepenuh jiwa dalam dunia seni namun berakhir dengan kekecewaan.
BACA: “Cium Pipi Pun Tak Boleh” – Isteri Tak Nak Pandang Muka Fadlan Lepas Cukur Jambang
“Saya penat. Bertahun-tahun ditolak, bertahun-tahun curahkan masa, hati dan jiwa tapi seolah-olah tiada siapa nampak. Selama ini rasa macam berlakon dalam gelap.
“Saya bukan mahu simpati, cuma nak jujur pada diri sendiri dan pada sesiapa yang pernah rasa tak wujud,” katanya.
Sementara itu, Fadlan berkata dia mengambil keputusan untuk berehat seketika namun tidak menolak kemungkinan untuk undur diri dalam dunia lakonan.
“Buat masa ini, saya nak undur diri. Mungkin sekejap, mungkin selamanya. Saya pun tak pasti. Tapi saya tahu saya dah penat berjuang untuk dapat tempat yang sebenarnya tak pernah ada pun untuk saya. Tapi saya bangga dengan perjuangan itu, walaupun tiada siapa nampak,” katanya.
Dalam pada itu, Fadlan turut mengucapkan terima kasih buat mereka yang melihat hasil kerjanya, serta percaya akan dirinya biarpun dalam senyap.
“Anda yang buat saya terus bertahan lebih lama daripada yang saya sangka,” tulisnya.




