Wanita baru tiga bulan bersalin positif dadah, dicekup AADK

Wanita baru tiga bulan bersalin positif dadah, dicekup AADK

am@hmetro.com.my

Pendang: Seorang wanita yang baru tiga bulan bersalin anak sulung dicekup anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah kerana didapati positif dadah jenis syabu.

Wanita berusia 28 tahun itu ditahan bersama suaminya yang berusia 30 tahun di rumah sewa mereka di Kampung Selamat, Ayer Putih, di sini kira-kira jam 10 pagi dalam operasi Cegah Khas 3.0 AADK Kedah, hari ini.

Ketika serbuan dilakukan, wanita itu dan suaminya sedang tidur di dalam rumah bersama anak lelaki mereka.

Wanita itu mendakwa, dia mengambil dadah itu kelmarin yang diberi oleh rakan-rakannya yang datang ke rumah.

“Saya menagih dadah sebelum berkahwin malah bekas suami pertama dulu juga penagih dadah dan suami kedua ini juga penagih.

“Ketika waktu berpantang, saya ditahan namun hasil ujian saringan air kencing mendapati saya bebas dadah dan dibebaskan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, operasi hari ini diadakan serentak di 11 daerah termasuklah Pendang yang juga antara transit dan laluan sempadan daerah Kota Setar, Padang Terap, Yan Kuala Muda.

Katanya, penagih di daerah ini tidak lagi melepaskan gian di port tetapi berurus niaga membeli dadah secara mobile (panggilan) atau drive thru (pandu lalu).

“Operasi ini bertujuan untuk mengesan secara maksimum orang yang disyaki sama ada membabitkan penagih baru, gagal hadir jamin, langgar syarat dan banyak lagi kesalahan yang berkaitan dengan kesalahan di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Hari ini kita menyasarkan daerah Pendang, dari Januari hingga Jun, daerah ini merekodkan catatan yang tertinggi tangkapan penagih yang merujuk kadar penyalahgunaan dan penagih dadah di seluruh Malaysia,” katanya.

Khairul Anwar berkata, di Kedah sahaja, pihaknya sudah melaksanakan 339 operasi membabitkan 11 daerah dan menahan 2,965 orang yang terdiri daripada penagih baru dan langgar syarat.

“Dalam operasi hari ini, seramai 11 individu dengan 10 daripadanya adalah lelaki dan seorang wanita dipercayai penagih dadah ditahan dalam serbuan di beberapa kawasan hari ini.

“Kesemua mereka yang ditahan ini disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top