Diekori dron dan diancam, GSF kekal utuh belayar ke Gaza

Diekori dron dan diancam, GSF kekal utuh belayar ke Gaza

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Global Sumud Flotilla (GSF) kekal utuh belayar ke Gaza walaupun pelbagai retorik cuba dimainkan oleh Israel yang melabelkan gerakan itu sebagai ‘ancaman keselamatan’.

GSF dalam satu kenyataan berkata, misi kemanusiaan yang diketuai oleh orang awam sepatutnya dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa dan sebarang halangan adalah melanggar Perjanjian Geneva.

Menurutnya, tindakan Israel menggelarkan GSF ancaman keselamatan adalah retorik negara haram itu bagi menghalalkan kekejaman ke atas rakyat Palestin.

“Retorik itu selari dengan tindakan Israel yang secara meluas melabelkan usaha kemanusiaan (ke Gaza) melanggar undang-undang sekali gus membenarkan pengguna kekerasan melampau ke atas sukarelawan kemanusiaan.

“Peningkatan retorik dari Israel ini berlaku ketika sejumlah dron tidak dikenali asal usulnya dilihat mengekori armada GSF meningkatkan kerisauan sukarelawan,” kata kenyataan itu hari ini.

GSF dalam kenyataan itu berkata, usaha memecahkan penjajahan secara haram Israel ke atas Gaza itu sendiri adalah perbuatan yang dilindungi di bawah undang-undang.

Katanya, Gaza masih mengekalkan kedaulatan ke atas perairannya dan GSF berhak belayar bagi menghantar bantuan dan mencabar pelanggaran undang-undang oleh Israel.

“Prinsip ini diperkuatkan lagi apabila Mahkamah Antarabangsa sudah memerintah Israel untuk memudah cara bantuan kemanusiaan dan dihalang daripada melakukan gangguan.

“Cubaan Israel untuk melabel misi ini sebagai misi haram adalah satu cubaan untuk mengubah undang-undang antarabangsa bagi menutup jenayah perang yang mereka lakukan.

“Dunia harus menolak penipuan dan mempertahankan gerakan kemanusiaan, melindungi lebih 500 sukarelawan yang belayar bagi memecahkan cengkaman dan genosid di Gaza,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top