Empat fokus utama TFC jalin kerjasama dengan Persija Jakarta

Empat fokus utama TFC jalin kerjasama dengan Persija Jakarta

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pembangunan bakat muda menjadi antara empat agenda utama Terengganu FC (TFC) selepas menjalin kerjasama strategik dengan kelab Indonesia, Persija Jakarta, minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai berkata, turut menjadi fokus utama kelab berkenaan ialah program pertukaran kepakaran kejurulatihan.

Jelasnya, peluang komersial yang dapat memberikan manfaat bersama serta penganjuran perlawanan persahabatan antarabangsa turut menjadi agenda utama TFC.

“Kolaboratif ini dilihat sebagai lembaran baharu dalam bola sepak tempatan kerana ia membabitkan nilai komersial kelab serta nilai persahabatan antara kedua-dua negara.

“Jalinan ini bukan sahaja membina jambatan bola sepak antara Malaysia dan negara jiran itu, tapi ia mampu memberikan impak yang besar dan positif kepada pembangunan bola sepak serantau, sekali gus mampu menambah nilai “Kami percaya dan yakin, sukan bola sepak negara khususnya di Terengganu akan terus berkembang hasil kerjasama dua hala itu,” ujar Sheikh Farouk yang baharu mengambil alih jawatan itu pada bulan lalu.

Delegasi TFC yang turut disertai Ketua Pegawai Operasi (COO) TFC, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkunjung ke Jakarta dua minggu lalu untuk bertemu dengan Presiden Persija Jakarta, M Prapanca dan Pengarah Sukan, Bambang Pamungkas bagi menjalin kerjasama antara dua kelab berkenaan.

Sementara itu, M Prapanca mengakui gembira dengan pertemuan dan kerjasama itu yang pastinya bakal menguntungkan kedua-dua belah kelab.

“Pertemuan ini bakal membuka peluang dan ruang lebih luas dalam mengembangkan lagi potensi pemain muda, pertukaran kepakaran selain menyatukan komuniti bola sepak Asia Tenggara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top