Siasatan aset Tun M masih berjalan – SPRM

Siasatan aset Tun M masih berjalan – SPRM

amir_hamid@mediaprima.com.my

Cyberjaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan berhubung aset milik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih berjalan dengan kerjasama pihak berkuasa di luar negara termasuk United Kingdom (UK) dan Switzerland.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya berkolaborasi dengan beberapa agensi antarabangsa bagi mengesan serta mendapatkan maklumat terperinci mengenai aset yang didakwa dimiliki Dr Mahathir.

“Kami masih lagi berkolaborasi dengan pihak berkuasa UK, iaitu dengan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC), yang sedang membantu kami sekiranya ada apa-apa aset membabitkan Dr Mahathir.

“Setakat ini masih lagi belum ada perkembangan,” katanya pada Ulangtahun ke-8 Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Dewan Tun Canselor Universiti Multimedia (MMU), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azam mengesahkan selain UK, pihaknya turut meneliti maklumat berkaitan aset Dr Mahathir di Switzerland.

“Ya, betul kita juga melihat pada negara-negara lain seperti Switzerland. Jadi buat masa ini dua negara itu,” katanya.

Sebelum ini, SPRM memeterai Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) melalui kerjasama dengan National Crime Agency (NCA) United Kingdom pada Disember tahun lalu bagi membantu siasatan membabitkan Dr Mahathir, keluarga dan sekutunya.

Terdahulu dilaporkan, SPRM juga pernah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan IACCC di London, unit khas di bawah NCA yang berperanan menyelaras siasatan kes rasuah rentas sempadan.

Menurut sumber sebelum ini, pihak berkuasa UK dijangka menyerahkan senarai aset rasmi yang turut meliputi negara Kanada, Switzerland, Jepun dan UK sendiri sebelum tindakan sitaan serta pelucuthakan dilakukan.

Proses itu bagaimanapun dilihat bukan mudah kerana membabitkan instrumen perundangan antarabangsa selain memerlukan kerjasama banyak pihak luar negara.

Namun, SPRM menegaskan siasatan akan diteruskan secara telus demi memastikan segala aset yang diperoleh secara haram dapat dipulangkan semula kepada negara.

Difahamkan, siasatan itu dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Dalam perkembangan sebelum ini, SPRM turut memanggil dua anak Dr Mahathir untuk mengisytiharkan aset-aset yang dimiliki di dalam dan luar negara bagi melengkapkan siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top