Media berhak buat liputan secara adil, tepat – Peguam

Media berhak buat liputan secara adil, tepat – Peguam

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sekatan terhadap liputan media di mahkamah hanya boleh dikenakan apabila ia benar-benar perlu, seimbang dan demi kepentingan keadilan, kata bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Salim Bashir.

Peguam jenayah itu berkata, media memainkan peranan penting dalam melaporkan perkara berkepentingan awam yang berlaku dalam mahkamah terbuka, dengan syarat laporan itu tepat dan bebas daripada sebarang spekulasi.

“Keputusan mengenai liputan media bagi prosiding mahkamah akhirnya tertakluk kepada budi bicara hakim yang bersidang.

“Ini termasuk larangan biasa seperti mengambil gambar di dalam bilik mahkamah semasa prosiding, perintah larangan bersuara, perbicaraan secara tertutup (in camera), kes membabitkan keselamatan negara, atau sekatan yang dikenakan di bawah statut seperti Akta Kanak-Kanak, yang melarang gambar kanak-kanak diambil.

“Secara amnya, media berhak membuat liputan, dengan syarat ia dilakukan secara adil dan tepat,” katanya ketika dihubungi New Straits Times, hari ini.

Salim berkata, prinsip keadilan terbuka kekal menjadi asas sistem perundangan, dengan Seksyen 7 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan dengan jelas bahawa mahkamah jenayah dianggap terbuka dan boleh diakses oleh semua pihak.

“Sekatan kadangkala boleh menimbulkan persoalan mengenai kebebasan bersuara dan konsep keadilan terbuka itu sendiri.

“Adalah penting sebarang sekatan itu wajar, seimbang dan meyakinkan; jika tidak, ia berisiko menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem keadilan,” katanya.

Kenyataan beliau adalah sebagai maklum balas terhadap kebimbangan yang dibangkitkan Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) yang semalam menggesa polis membenarkan jurugambar bertauliah menjalankan tugas mereka di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Dalam satu kenyataan, KKJA meluahkan kekesalan kerana petugas media berdaftar dihalang daripada mengambil gambar individu yang didakwa atau disabitkan dengan pelbagai jenayah di dalam kawasan mahkamah.

Kumpulan itu berpendapat, tindakan berkenaan menjejaskan ketelusan dan melemahkan prinsip keadilan terbuka, kerana jurugambar memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan peristiwa secara visual di dalam dan sekitar mahkamah untuk rekod awam.

Sementara itu, peguam litigasi sivil, Alliff Benjamin Suhaimi berkata, tindakan menghalang jurugambar bertauliah daripada mengambil gambar defendan sememangnya menimbulkan kebimbangan mengenai kebebasan media.

“Ya, memang benar. Kebebasan media mesti ada untuk melaporkan apa yang berlaku secara fakta di mahkamah. Bagaimanapun, mesti ada keseimbangan dengan hak privasi seseorang tertuduh,” katanya.

Katanya, walaupun tiada undang-undang rasmi yang menyekat akses jurugambar, garis panduan dikeluarkan oleh mahkamah mengikut kes.

“Berdasarkan pengalaman saya, wartawan dan jurugambar tidak pernah dinafikan akses ke kompleks mahkamah. Memasuki bilik mahkamah adalah isu lain secara amnya, ia tidak dibenarkan kecuali untuk Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Alliff menambah, sebaik sahaja sesuatu kes dibawa ke mahkamah, ia menjadi bersifat awam, tetapi orang yang dituduh tidak boleh digambarkan sebagai pesalah sebelum waktunya.

“Mahkamah biasanya tidak akan menyekat laporan kecuali bagi kes yang membabitkan kanak-kanak atau yang dijalankan secara tertutup.

“Pada masa sama, seseorang tertuduh tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Dengan adanya media sosial hari ini, adalah penting untuk tidak membuat penghakiman awal,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya mahkamah menyediakan kawasan khas untuk media di dalam kompleks mahkamah bagi mengimbangi keselamatan dan ketelusan.

“Ini bagi memastikan wartawan dapat melakukan kerja mereka untuk memaklumkan kepada orang ramai. Tanpa liputan media, negara akan merana,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top