Siti Nurhaliza, Aliff Syukri Penyumbang Zakat Tertinggi

Siti Nurhaliza, Aliff Syukri Penyumbang Zakat Tertinggi

Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan usahawan Datuk Seri Aliff Syukri antara penyumbang zakat perniagaan tertinggi kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Memetik mStar Online, kedua-duanya membayar zakat menerusi syarikat korporat mereka iaitu CTDK Holdings Sdn. Bhd dan D’Herbs Holding Sdn.Bhd.

BACA: “Doakan Yang Terbaik” – Siti Nurhaliza Pertahan Selebriti Wanita Ke Gaza

Sementara itu, Siti berkata sudah menjadi tanggungjawab sebagai umat Islam untuk menunaikan zakat dan baginya setiap hasil yang diperoleh daripada perniagaan ada hak orang lain.

“Zakat ini sesuatu yang wajib bagi kita. Memang saya akan selalu pastikan apabila sampai tempoh untuk membayar, kita perlu melunaskannya.

“Dalam Islam sudah diberitahu pentingnya zakat untuk menyucikan harta benda kita. Setiap hasil wang yang diperolehi melalui perniagaan, di dalamnya ada hak orang lain juga.

“Ia juga melancarkan perniagaan, hati saya lebih tenang dan pendapatan kita lebih banyak lagi. Sejak ada syarikat sendiri daripada sebelum kahwin lagi, zakat adalah suatu tanggungjawab yang saya tak pernah culas,” katanya.

Sementara itu, anak sulung Aliff Syukri iaitu Ammar Ahyan berkata dia bangga bapanya masih menjadi antara penyumbang tertinggi negeri Selangor.

“Saya berasa gembira dan berbangga dengan ayah saya. Saya juga mahu berterima kasih kepada kakitangan D’Herbs.

“Tahun depan giliran saya pula bayar zakat sebab zakat ialah salah satu tiang Islam. Siapa saja yang tak mahu bantu orang lain,” katanya.

Sumber: mStar Online


Scroll to Top