Pelawak popular, Achey, meluahkan rasa kecewa apabila wujud pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup mencipta akaun palsu semata-mata untuk menabur kecaman terhadap dirinya, termasuk melibatkan anak dan isterinya.
Menerusi satu video di TikTok, Achey berkata meskipun dirinya sudah lali menjadi sasaran serangan netizen, tetapi dia tidak sanggup apabila anak kecilnya turut dihina.
“Kalau nak serang saya, seranglah saya. Tapi bila anak dan isteri turut terpalit, saya rasa itu yang paling saya tak boleh tahan. Anak saya tak tahu apa-apa, dia tidak bersalah,” jelas Achey.
Dia turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduh dirinya mengambil kesempatan dengan menggunakan anak sebagai sumber rezeki.
@achey_kintangkintung sekadar perkongsian kisah kami lalui.. alhamdulillah sekarang ok je.. .. kisah kita tak sama.. di layar nampak hebat hasilnya tidak.. bila kita sedar di mana kita patut letakkan diri kita.. kita akan ok.. mungkin orang lain lebih hebat tapi kita tak tau periuk dia besar mana keraknya.. tu bahagian dia pulak kan?.. Allah dah susun.. korang jgn fikir aku mintak simpati pulak.. saja bercerita kisah perit aku sekeluarga je 2,3 tahun kebelakang.. sekarang ok alhamdulillah.. .. @KAK_ANNE @tiaracandy_official ♬ original sound – ACHEY KINTANG KINTUNG
“Ya, memang selepas Tiara Candy meletup, nama anak saya dikenali. Tapi orang nampak ke saya paksa dia berniaga? Tidak. Saya sendiri yang berniaga. Kalau nak kata saya gunakan nama anak, memang betul saya gunakan nama dia, sama macam orang buka restoran guna nama anak. Itu sahaja. Bukan eksploitasi,” katanya.
Menurut Achey, apa yang dilakukan hanyalah berkongsi momen kehidupan keluarga, selain mahu membesarkan anak dalam suasana penuh kasih sayang tanpa sebarang niat terselindung.
“Saya berkongsi sebab anak saya membesar setiap hari. Bila dia besar nanti, dia boleh tengok balik bagaimana mak ayah dia sayang dia. Itu sahaja. Janganlah seret anak kecil dalam kecaman. Kalau nak kecam, kecam saya seorang,” ujarnya.
Mengakhiri perkongsian tersebut, Achey menzahirkan rasa syukur serta menyerahkan sepenuhnya soal rezeki dan perjalanan hidup keluarganya kepada Allah.
“Cerita kehidupan ini kita berkongsi. Saya cerita pasal diri saya, bukan orang lain,” katanya.




