redzuan.muharam@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Mulianya hati dua pemuda ini kerana memberi tempat berteduh kepada lelaki warga emas tidak dikenali yang ‘terperangkap’ dalam hujan lebat.
Kisah itu mendapat perhatian selepas Bryan Wong, 21, iaitu salah seorang pemuda berkenaan memuat naik video di TikTok.
Menerusi video berdurasi satu minit 13 saat itu, kelihatan Bryan dan rakannya, Lim Ze Xin, 32, berlari ke arah warga emas yang ketika itu duduk di motosikal serta berteduh di bawah pokok.
Berkongsi kisah berkenaan, Bryan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang semalam ketika dia dan Lim bekerja di kedai telefon bimbit yang terletak bertentangan dengan lelaki itu berteduh.
Katanya, sebelum kejadian, dia ada ternampak lelaki itu di bawah pokok namun terus melakukan kerja seperti biasa.
“Tak lama selepas itu, hujan jadi saya dengan Lim pergi alihkan meja pameran di luar untuk dibawa masuk.
“Kemudian, hujan mula lebat hingga tiupan angin kuat dan waktu itulah, saya terpandang pak cik itu masih duduk di atas motosikalnya kerana berteduh di bawah pokok.
“Tanpa berfikir panjang, kami berdua terus berlari untuk selamatkan pak cik itu dan bawa dia masuk ke kedai untuk berteduh. Kami minta dia rehat dulu di dalam kedai dan jangan balik sehingga hujan reda,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bryan berkata, dalam lima minit kemudian, hujan reda dan lelaki itu meminta diri untuk beredar bagi meneruskan perjalanan.
“Sebelum pergi, pak cik itu tak berhenti ucap terima kasih tapi kami tak sempat bersembang dan bertanya banyak dengannya cuma yang saya tahu, dia ada gout.
“Tapi saya ada baca di ruangan komen, seorang warganet beritahu pak cik itu tinggal di sekitar kawasan ini dan selalu menunggang motosikal dengan membawa kotak.
“Apa pun, saya dan Lim memang lega kerana dapat membantu pak cik itu kerana tak sampai hati melihatnya basah lencun dalam hujan. Lagipun bahaya kerana motosikalnya berhenti di bawah pokok,” katanya.
Berhubung perkongsian yang tular, Bryan mengakui tidak menyangka video dimuat naiknya akan mendapat perhatian hingga meraih lebih 920,000 tontonan.
“Pada awalnya, saya hanya kongsi video itu di status WhatsApp dan tak rancang nak muat naik di TikTok.
“Tapi entah kenapa, tergerak hati nak kongsi di TikTok, bukan sebab mahu tunjuk saya baik kerana sekadar muat naik untuk kenangan.
“Tak sangka pula video itu akan meraih tontonan ramai sehingga tak berhenti terima notifikasi. Tapi lega bila baca komen kerana rata-rata warganet beri komen positif,” katanya yang berasal dari Sabah dan merantau ke Pulau Pinang untuk mencari rezeki.
© New Straits Times Press (M) Bhd



