am@hmetro.com.my
Sandakan: “Bukan saja rumah saya terbakar, malah hilang punca pendapatan kerana warung menjual bakso yang sudah lapan tahun saya usahakan juga musnah,” kata Lim Nawali, 61.
Lim antara kira-kira 8,000 mangsa yang terbabit dalam kebakaran di penempatan atas air Kampung Bahagia, di sini, hari ini.
Menceritakan kejadian itu, Lim berkata, dia terjaga daripada tidur 1.30 pagi selepas terdengar bunyi bising dari rumah jirannya.
Katanya, dia bangun dan melihat api sudah mula marak di rumah jiran sebelum mengejutkan anak dan cucunya untuk menyelamatkan diri.
“Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang. Cuma bawa diri saja. Keadaan sungguh kelam kabut waktu itu. Saya cuma fikir keselamatan anak dan cucu yang masih kecil.
“Apa boleh buat, sudah takdir begini. Warung saya yang jauh dari rumah juga ikut terbakar,” katanya.
Sementara itu, ibu satu anak, Alpaida Bundun, 38, berkata, dia tidak menyangka api boleh merebak sampai ke rumahnya kerana kedudukan yang jauh daripada rumah pertama terbakar.
Lebih menyedihkan, katanya, dia juga kehilangan punca pendapatan apabila kedai runcit kecil-kecilan yang diusahakan sejak lima tahun lalu musnah.
“Saya sudah mahu tidur, tapi saya dengar orang teriak cakap ada kebakaran. Saya terus keluar tengok keadaan, api sudah marak.
“Kami ambil yang penting saja, surat-surat (dokumen) semua dan terus keluar.
Rumah pertama yang terbakar jauh, tapi lama-lama tidak sedar, api makin dekat,” katanya.
Alpaida berkata, rumahnya terbakar dalam 3 pagi selepas kebakaran rumah pertama yang dilaporkan pada 1.30 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




