am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Tujuh lelaki didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini atas pertuduhan memakai pakaian wanita di sebuah apartment di Jalan Mahmood, tahun lalu.
Bagaimanapun, semua tertuduh yang berusia antara 25 hingga 30 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie Zahari Mohd Yusoff.
Mereka didakwa berpakaian seperti wanita dengan mengenakan pakaian lengan panjang ketat, seluar ketat, kasut tumit tinggi serta skirt pendek paras atas paha.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah dewan serba guna di apartment berkenaan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11 malam, 30 Mei tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019.
Kesemua tujuh tertuduh diwakili peguam utama Muhammed Syarafi Mohd Salleh dibantu Mohd Faqqhuruddin Mohd Nasir dan Muhammad Amirul Ashraf A Ghani.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syarie Kelantan, Shamsiah Hassan.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Difahamkan, tujuh lelaki itu adalah antara 13 individu yang ditahan dalam satu serbuan di apartmen berkenaan oleh pihak berkuasa agama negeri termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) susulan maklumat orang awam.
Operasi turut dijalankan bersama pihak polis.
Sementara itu, Syarafi ketika ditemui di luar mahkamah berkata, semua anak guamnya sudah membayar wang jaminan.
Beliau berkata, mahkamah turut membenarkan kes enam individu lagi disebut pada 5 Julai.
© New Straits Times Press (M) Bhd



