Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan pemberhentian kerja serta-merta bagi sebuah projek di Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara susulan kejadian banjir lumpur di Jalan Abang Haji Openg semalam.
Bergegas ke lokasi banjir lumpur
Menerusi perkongsian di media sosial, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyatakan kompaun turut dikenakan terhadap kontraktor terlibat selain operasi pembersihan sedang dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Menurut beliau, projek berkenaan berada di bawah Jabatan Landskap Negara (JLN) dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Saya sudah turun ke lokasi malam ini (18 April) bersama-sama dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud. DBKL mengambil tindakan serta-merta berikutan situasi kecemasan serta risiko yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk berhampiran,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
DBKL arah henti projek serta merta, dikenakan kompaun
Hannah berkata, antara langkah segera diambil termasuk operasi pembersihan, membuka struktur penghadang serta membaiki perangkap kelodak bagi mengawal aliran air permukaan.
Selain itu, pusat kawalan turut ditubuhkan bagi menyelaras operasi dengan anggota bomba berada dalam keadaan siap siaga.
Dalam masa sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur mengarahkan semua pihak terlibat menghadiri mesyuarat tergempar bagi menilai semula pelan mitigasi.
“Beliau (Fadlun) juga memutuskan semua kerja pembangunan cerun di sekitar Taman Persekutuan Bukit Kiara dikaji semula. Satu garis panduan pembangunan kerja tanah secara berfasa dan terkawal akan diperkenalkan di kawasan tersebut,” katanya.

Kawasan cerun tak dibenarkan pelaksanaan secara menyeluruh
Beliau turut menegaskan DBKL akan memperketatkan kawal selia kerja tanah di kawasan cerun dan tidak lagi membenarkan pelaksanaan secara menyeluruh tanpa kawalan.
“Saya juga menggesa JKR dan JLN untuk mengambil langkah mitigasi dengan segera bagi mengelakkan kejadian berulang.
“Keselamatan awam mesti menjadi keutamaan dan semua pihak yang bertanggungjawab perlu bertindak dengan segera serta penuh komitmen,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan daripada Bernama, Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi memaklumkan JKR diarahkan menjalankan siasatan teknikal terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut yang turut menyebabkan runtuhan tembok penahan berhampiran kawasan berkenaan.
Sumber: Facebook Hannah Yeoh, Bernama




