Insiden panas Insa cetus kontroversi, JDT tampil mohon maaf

Insiden panas Insa cetus kontroversi, JDT tampil mohon maaf

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aksi panas babitkan ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa yang ‘menendang’ pegawai perubatan ketika aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) menentang Al-Ahli rupanya belum berakhir di atas padang apabila kem Harimau Selatan tampil ‘cool down’ situasi yang tular, Jumaat lalu.

Segalanya berpunca daripada insiden cemas membabitkan penyerang JDT, Jairo Da Silva yang mengalami kecederaan serius hingga mencetuskan reaksi luar jangka Natxo.

Menurut perkongsian akaun X, @Rabanalsafena, pengurusan JDT sempat bertemu pegawai perubatan tuan rumah bagi meredakan keadaan selain memohon maaf atas tindakan ‘panas baran’ Natxo yang sebelum ini mengundang kecaman netizen.

Difahamkan, tindakan drastik Natxo termasuk berlari mengambil pengusung sendiri tanpa menunggu arahan pengadil dilakukan kerana mahu memastikan bantuan kecemasan sampai secepat mungkin kepada Jairo.

Namun, gaya ‘keras’ pemain berusia 39 tahun itu terhadap petugas perubatan mencetuskan persepsi negatif, meskipun niat sebenar adalah demi keselamatan rakan sepasukan.

Situasi itu akhirnya diredakan apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Luis Garcia tampil menyerahkan jersi ikonik Harimau Selatan bersama sejambak bunga sebagai simbolik permohonan maaf dan tanda penghargaan kepada pasukan perubatan.

Langkah profesional itu jelas menggambarkan JDT tidak berkompromi dalam soal etika dan tetap menjunjung tinggi rasa hormat terhadap petugas kesihatan di tengah tekanan perlawanan berintensiti tinggi.

Dalam perkembangan sama, Jairo dilaporkan sudah dibenarkan keluar hospital selepas menerima beberapa jahitan dan rawatan lanjut, sekali gus melegakan kem Harimau Selatan.

Untuk rekod, JDT terpaksa akur tersingkir selepas tewas 1-2 kepada Al-Ahli yang beraksi dengan 10 pemain, sekali gus menyaksikan wakil Arab Saudi itu mara ke separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top