A Aida tiba-tiba rebah selepas jalani fisioterapi

A Aida tiba-tiba rebah selepas jalani fisioterapi

Kuala Lumpur: Pelakon dan penerbit, Datuk A Aida, 55, dilaporkan rebah selepas menjalani rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan di sini.

Menurut Dekan Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, A Aida difahamkan baru menjalani pembedahan lutut pada Selasa lalu dan berada dalam keadaan normal, namun tiba-tiba dia rebah selepas menjalani rawatan.

Mohd Izhar memohon orang ramai agar mendoakan kesihatan kesihatan A Aida yang kini ditidurkan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Pada mulanya dia kelihatan okay saja. Bagaimanapun, dia rebah dan wajahnya pucat sebelum segera dibawa ke katil.

“Apabila diperiksa jururawat, dia sudah tidak sedarkan diri. Keadaannya tidak stabil kerana tekanan darah tidak menentu.” katanya sambil memaklumkan sahabatnya itu difahamkan tidak pernah menghidap penyakit seperti kencing manis atau darah tinggi.

Terdahulu, Mohd Izhar di Facebooknya berkongsi mengenai keadaan A Aida yang dimasukkan ke ICU di sebuah pusat perubatan di Ibu Kota.

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati beberapa rakan artis dan keluarga turut mendoakan kesejahteraan A Aida.

Pelakon dan penyanyi, Farahdhiya memohon semua pihak agar mendoakan kesihatan rakan baiknya itu kembali pulih.

“Salam semua. Saya nak minta tolong doakan kesembuhan buat kakakku @aaidaproduction. Saya difahamkan beliau berada di ICU sekarang ni. Saya sendiri tak dpt jumpa lagi buat masa ni. Mengigil tangan masa dpt tau berita ni tadi coz I’ve never seen her being sick. Doaku mengiringimu selalu kakak,” tulisnya di Instagram.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top