Cadangan bawa pulang Dara, Amoi, Kelat dibincang minggu depan

Cadangan bawa pulang Dara, Amoi, Kelat dibincang minggu depan

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan Negeri Perak akan mengadakan perjumpaan dengan pihak berkepentingan pada minggu hadapan, berhubung isu pemindahan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) milik Zoo Taiping & Night Safari yang kini berada di Zoo Tennoji, Jepun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kerajaan negeri mengambil maklum gesaan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail supaya DAK segera dibawa pulang ke Malaysia.

“Saya juga mengambil maklum keprihatinan semua pihak terhadap isu ini dan Kerajaan Negeri sentiasa komited terhadap isu kebajikan haiwan.

“Pada masa ini, satu perjumpaan sudah diaturkan bersama beberapa pihak berkepentingan dan pemimpin tertinggi awal minggu hadapan bagi meneliti perkara ini secara lebih menyeluruh.

“Sehubungan itu, saya akan mengeluarkan kenyataan yang lebih lengkap dan menyeluruh selepas sesi perbincangan berkenaan berlangsung,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Semalam, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dilaporkan, menggesa DAK dibawa pulang ke Malaysia dari Jepun sekiranya pelaksanaan perjanjian sedia ada didapati tidak lagi selari dengan prinsip konservasi, kebajikan hidupan liar dan sensitiviti semasa.

Arthur dipetik berkata, Zoo Taiping & Night Safari digesa memulakan rundingan rasmi dengan Zoo Tennoji, Osaka bagi menilai keperluan serta mekanisme membawa pulang gajah berkenaan.

“Pada 13 April lalu, kami sudah membangkitkan isu ini dalam pertemuan bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.

“Pada 21 April pula, NRES memanggil Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping serta pengurusan Zoo Taiping & Night Safari bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Namun sehingga ke hari ini (semalam) permintaan dan cadangan kita itu gagal dipenuhi oleh kedua-dua pihak.

“NRES berpendirian gerakan untuk membawa pulang gajah tersebut wajar dipertimbangkan secara serius,” katanya dipetik.

Dalam pada itu, Wan Rosdy pula dilaporkan berkata, ketiga-tiga gajah itu wajar dibawa pulang dan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Temerloh yang disifatkan lebih sesuai dengan habitat serta keperluan semula jadi haiwan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top