Tanggung kecewa rumah dibeli tidak seperti diharapkan

Tanggung kecewa rumah dibeli tidak seperti diharapkan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

BELI lain dapat lain. Itu yang paling ditakutkan, malah ibarat mimpi ngeri buat pembeli rumah pertama.

Realitinya, ramai yang menjadi mangsa dan menanggung kekecewaan kerana rumah dibeli tidak seperti diharapkan.

Peguam hartanah, Mohamad Nasruddin Ab Rahman berkata, kes itu lazimnya membabitkan pembelian rumah dengan syarikat pemaju.

Kata Mohamad Nasruddin, tawaran menarik itu biasanya dihebahkan menerusi iklan dalam risalah dan kini lebih meluas dekat pelbagai platform di media sosial.

“Persoalannya adakah tawaran itu dianggap sebagai jual beli, jawapan ringkasnya tidak.

“Disebabkan itu, sangat penting untuk pembeli membaca dengan teliti dokumen Perjanjian Jual Beli (SNP) sebelum menandatanganinya.

“Misalnya mereka ditawarkan rumah yang lengkap dengan kabinet dapur, sofa dan sebagainya, ia perlu dinyatakan dalam perjanjian (dokumen SNP).

“Itu yang lebih utama kerana akan menentukan peluang pembeli untuk memfailkan saman terhadap syarikat pemaju.

“Ada kes, dalam SNP menyatakan kediaman dibeli menggunakan jubin spesifikasi tinggi, tapi dapat rumah dengan kualiti murah.

“Jadi, pembeli boleh saman, namun agak sukar jika apa dijanjikan tidak dinyatakan dalam SNP dan pembeli tidak menyimpan bukti,” katanya.

Mohamad Nasruddin berkata, perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah perkataan ‘gambar sekadar ilustrasi atau hiasan’ dan ‘tertakluk kepada terma dan syarat’ yang dianggap sebagai fasal pengecualian.

Menurut Mohamad Nasruddin, ia sedikit sebanyak akan berpihak kepada pemaju seandainya berdepan kes berbangkit atau tuntutan pembeli di mahkamah.

“Dalam hal ini, pembeli boleh memfailkan saman misrepresentasi (salah nyataan) yang merujuk kepada tindakan undang-undang sivil yang diambil apabila satu pihak membuat kenyataan fakta yang salah sebelum kontrak ditandatangani.

“Ia mendorong pembeli untuk memasuki kontrak itu dan akhirnya menyebabkan kerugian.

“Bagaimanapun, bukti yang ada perlu disimpan dan dikemukakan, malah sebaiknya apa dijanjikan dimasukkan dalam SNP.

“Kemudian, pembeli boleh melantik peguam dan ke mahkamah sivil untuk membuat tuntutan,” katanya.

Biarpun teruja untuk memiliki rumah pertama, Mohamad Nasruddin mengingatkan orang ramai untuk berhati-hati sebelum membuat pembelian dan menandatangani SNP.

Katanya, langkah itu penting bagi mengelak diri menjadi mangsa dan berdepan kesulitan dalam urusan pembelian rumah pertama yang diidamkan.

“Jangan mudah percaya dengan janji lisan baik daripada ejen perunding hartanah mahupun wakil syarikat pemaju kerana semua orang boleh berjanji.

“Ia kerana ada kebarangkalian apa yang dijanjikan itu tidak ditunaikan melainkan ia dinyatakan dalam SNP.

“Jadi, sebagai pembeli, kita kena bijak dan sebaiknya, minta senarai bertulis apa ditawarkan pemaju daripada ejen perunding hartanah,” katanya.

Mohamad Nasruddin berkata, langkah seterusnya adalah memastikan apa dijanjikan itu dinyatakan dalam SNP.

“Pada masa sama, pembeli perlu merekodkan nama ejen perunding hartanah selain simpan video atau sebarang bahan berkaitan promosi.

“Tidak ketinggalan tangkap layar perbualan dengan ejen perunding hartanah dan wakil syarikat pemaju berkait jual beli rumah.

“Jangan khuatir kerana ada akta melindungi pembeli rumah iaitu Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) cuma mahkamah akan mengambil kira segala bukti yang ada dalam membuat pertimbangan dan keputusan mengenai sesuatu tuntutan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top