Syahrie tepis tanggapan pidato bukan bidang lelaki 'macho'

Syahrie tepis tanggapan pidato bukan bidang lelaki 'macho'

zhahirah@hmetro.com.my

Pernah dianggap tidak cukup ‘macho’ kerana memilih pidato, individu yang mahu dikenali sebagai Mohammad Syahrie, 18, membuktikan keberanian lelaki bukan hanya terletak pada kekuatan fizikal, sebaliknya kemampuan menguasai ilmu dan mempertahankan hujah.

Pelajar Kolej Tingkatan Enam Datuk Pengiran Galpam, Sandakan, Sabah itu akhirnya dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Pidato Piala Diraja Tingkatan Enam Peringkat Kebangsaan 2026.

Namun, di sebalik kejayaan itu, dia berdepan cabaran apabila suaranya hampir hilang dua hari sebelum pertandingan ketika persediaan untuk beraksi di pentas kebangsaan semakin suntuk.

Keadaan itu memaksanya mendapatkan rawatan dan merehatkan suara, sekali gus menyebabkan dia terpaksa menghafal teks dalam diam bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Lebih mencabar, dia hanya mempunyai kira-kira seminggu untuk membuat persediaan intensif, dalam masa sama perlu membahagikan perhatian dengan peperiksaan percubaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Katanya, dia perlu mengikut nasihat doktor dan mengubah cara latihan bagi memastikan persediaannya tidak terjejas akibat masalah suara.

“Saya cuba ikut nasihat doktor, berehat dan mengulang hafalan dalam hati supaya saya tidak membebankan suara,” katanya.

Persediaan singkat itu turut menuntut disiplin tinggi apabila dia perlu menghafal teks, menyemak fakta, memperkemas intonasi dan memastikan setiap hujah dapat disampaikan dengan jelas kepada juri.

Selepas tamat sesi persekolahan, dia meneruskan latihan sehingga petang, malah rakan-rakannya turut datang ke rumah untuk membantunya membuat persediaan.

Minatnya terhadap pengucapan awam bermula sejak sekolah rendah apabila guru memilihnya menjadi pengacara majlis sebelum dia mula menyertai pertandingan debat, forum dan aktiviti berkaitan ketika di tingkatan tiga.

Bagaimanapun, perjalanan awalnya tidak terus menjanjikan kejayaan apabila penyertaan pertama dalam pertandingan pidato ketika tingkatan empat hanya membawanya ke peringkat daerah.

Dia kemudian memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum kembali aktif mengembangkan bakat pengucapan awam selepas melanjutkan pengajian ke tingkatan enam.

Malah dia yang memperoleh sembilan A dalam SPM berkata, penyertaannya dalam pertandingan Piala Diraja pada mulanya sekadar untuk menambah markah kokurikulum tanpa menjangkakan mampu muncul juara kebangsaan.

Dalam pusingan awal, dia menyampaikan pidato bertajuk Malaysia MADANI: Bahasa Melayu Pemangkin Kemajuan Negara yang mengetengahkan kepentingan bahasa Melayu seiring kemajuan negara di peringkat global.

Bagi pusingan akhir pula, dia membincangkan tajuk pidato spontan ‘Krisis Moral dalam Kalangan Pelajar: Siapa yang Bertanggungjawab?’ dengan mengupas peranan ibu bapa, sekolah, masyarakat dan golongan muda dalam menangani isu berkenaan.

Cabaran bertambah apabila tajuk akhir hanya diketahui beberapa jam sebelum pertandingan, menyebabkannya perlu menyusun hujah dan mendapatkan fakta dalam tempoh terhad.

Pada mulanya dia tidak menyangka mara ke pusingan akhir, malah sempat berasa peluangnya semakin tipis selepas melakukan kesilapan kecil dalam pusingan awal.

Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak terus dibelenggu kesilapan itu dan sebaliknya memberikan tumpuan kepada persembahan seterusnya sehingga meraih gelaran juara.

Di sebalik pencapaian itu, dia mengakui berdepan pandangan segelintir pihak yang menganggap pidato bukan aktiviti cukup ‘macho’ untuk lelaki, selain memperlekeh kejayaannya.

Baginya, tanggapan sedemikian tidak sepatutnya menjadi alasan untuk lelaki muda menjauhkan diri daripada aktiviti yang mampu membina keyakinan dan kematangan berfikir.

“Bagi saya, lelaki yang kuat bukan hanya mempunyai kekuatan fizikal, tetapi juga mempunyai ilmu, mampu mengawal diri dan berani menyuarakan pandangan dengan cara betul,” katanya.

Akuinya, dia memilih untuk tidak terlalu melayan kata-kata negatif kerana tindakan sedemikian boleh memburukkan keadaan, sebaliknya mendapatkan nasihat daripada guru dan rakan-rakan.

Dia turut berpendapat golongan muda perlu berani bertanya, menyampaikan pandangan dan mempertahankan pendirian secara berhemah tanpa terlalu takut terhadap penilaian orang sekeliling.

Menurutnya, kemahiran berkomunikasi bukan sahaja berguna ketika menyertai pertandingan, malah penting dalam pengajian tinggi dan alam pekerjaan.

Dalam masa sama, dia mahu anak muda lebih menghargai pendidikan dan tidak mudah terpengaruh dengan tanggapan bahawa kejayaan hanya boleh dicapai melalui populariti atau pendapatan tanpa perlu menambah ilmu.

Kini dia mengikuti pengajian tingkatan enam dalam bidang Ekonomi, Perniagaan dan Geografi berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau Universiti Teknologi MARA (UiTM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top