Trump ancam guna ibu segala bom musnahkan loji nuklear Iran

Trump ancam guna ibu segala bom musnahkan loji nuklear Iran

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) merangka pelan serangan baharu yang merangkumi kemungkinan penggunaan ibu segala bom terhadap infrastruktur tenaga dan kemudahan nuklear Iran jika Presiden Donald Trump mengarahkan operasi tempur disambung semula.

Pendedahan itu didedahkan oleh beberapa pegawai AS yang mengetahui tentang peranca­ngan itu selepas kali terakhir Washington menyerang selatan Iran pada 1 September lalu.

Cadangan berkenaan yang didedahkan CNN itu adalah termasuk penggunaan bom GBU-43/B Letupan Berskala Besar (MOAB).

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia merupakan bom bukan nuk­lear terbesar dalam simpa­nan senjata AS, yang menandakan kemungkinan peningkatan besar-besaran dalam konflik de­ngan Iran.

Bagaimanapun, beberapa pe­gawai mempersoalkan sama ada senjata itu mampu mencapai objektif ketenteraan Washington, khususnya terhadap kemudahan nuklear bawah tanah yang dilindungi kubu pertahanan kukuh, menurut CNN.

Laporan itu menyebut Trump telah mengarahkan tentera menyediakan pilihan serangan tambahan terhadap sasaran di Iran, termasuk infrastruktur tenaga dan kemudahan yang dikaitkan dengan program nuklear Teheran.

Pelan itu boleh dilaksanakan sebelum atau selepas pilihan raya pertengahan penggal AS bulan depan sekiranya Trump memutuskan untuk menyambung semula operasi tempur berskala besar.

Satu sumber yang mengetahui perancangan itu memberitahu CNN bahawa sera­ngan yang dicadangkan boleh dilancarkan sebelum tentera Amerika berundur dari kawasan tanggungjawab Markas Pusat AS (CENTCOM).

Menurut sumber itu, senario sedemikian membolehkan pentadbiran Trump melancarkan serangan tambahan sebelum mengisytiharkan kemenangan dan mengundurkan tentera AS.

Satu lagi sumber berkata, pelan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran, termasuk tapak bawah tanah yang disyaki terletak di Gunung Pickaxe, secara jelas merangkumi kemungkinan penggunaan bom MOAB.

Trump berulang kali me­ngancam untuk menyasarkan Gunung Pickaxe, yang menurut Washington dan Israel menjadi lokasi penyimpanan komponen program nuklear Iran.

Presiden itu menegaskan ba­hawa usaha menghalang Teheran daripada memperoleh senjata nuklear kekal sebagai matlamat utama kempen ketenteraan AS yang bersama Israel menyerang Iran sejak 28 Februari lalu.

Sementara itu, Iran akan meneruskan strategi ketenteraan dan rundingan diplomatik secara serentak bagi mencapai matlamatnya, termasuk memaksa pihak lawan menerima tuntutan rakyat negara itu atau berdepan kekalahan, menurut Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf.

Dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita Tasnim, Ghalibaf berkata, Iran akan meneruskan kedua-dua pendekatan itu untuk mencapai matlamat negara, selain meningkatkan kesiapsiagaan ketenteraan dan menggunakan kekuatan sepenuhnya apabila diperlukan.

Namun, beliau menjelaskan pen­dekatan menggabungkan pe­perangan dengan rundingan bu­kan bermaksud Iran mahu terlibat dalam konflik tanpa penghujung atau rundingan berterusan.

Dalam wawancara yang di­siarkan di televisyen kelmarin, beliau berkata, Trump melanggar komitmen dan memungkiri janji yang dibuat sebelum ini.

Menurut beliau, perjanjian bertulis sahaja tidak menjamin pencegahan serangan baharu terhadap Iran, walaupun AS bersetuju memenuhi komitmen yang terkandung dalam dokumen berkenaan.

“AS mesti dihukum dan me­ngubah tindakannya. Negara itu mesti memahami bahawa ia perlu mencapai persefahaman dengan rakyat Iran serta menerima tuntutan sah mereka,” tegasnya. – AGENSI

 

Scroll to Top