Kes bunuh pegawai kastam: Terkilan 'cara' adik 'pergi' – Abang

Kes bunuh pegawai kastam: Terkilan 'cara' adik 'pergi' – Abang

am@hmetro.com.my

Nilai: “Memang sudah sampai masa dia. Tetapi cara dia ‘pergi’ itu buatkan kami terkilan lebih-lebih lagi pelakunya adalah suaminya sendiri,” kata Amran Ibrahim, 59, abang sulung kepada wanita yang dibunuh di di sini, malam tadi.

Mangsa, Norhazwani Ibrahim, 35, dipercayai dibunuh dalam kejadian kira-kira 7 malam di sebuah unit rumah kakitangan kerajaan di Jalan Kuarters KLIA, di sini.

Amran berkata, dia mendapat panggilan daripada adik lelakinya kira-kira 7.30 malam yang memaklumkan adik bongsu mereka dikatakan dibunuh suami.

“Ketika itu, saya berada di rumah di Pinggiran Batu Caves, Selangor, sebelum terima panggilan daripada adik kelapan. Dia beritahu, adik ipar kami (suspek) hubungi dia dan maklumkan sudah bunuh isteri sendiri.

“Pada masa itu perasan bercampur baur, ada rasa terkejut, tidak percaya dan marah juga. Saya kemudiannya terus hubungi balai polis kerana dia (suspek) turut beritahu mahu serah diri di balai polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, awal pagi tadi.

Amran berkata, dia kemudiannya mendapat pengesahan mengenai kejadian itu daripada pihak polis sebelum bergegas ke rumah pasangan berkenaan, bersama saudara-mara lain.

Jelasnya lagi, adik bongsunya yang mesra disapa Wani atau Mok Su dalam kalangan ahli keluarga itu lebih rapat dengan adik kelapannya berbanding adik-beradik lain.

“Kami ada sembilan adik-beradik dan saya adalah anak sulung. Kali terakhir jumpa dengannya kira-kira tujuh bulan lalu, namun kami ada berhubung melalui WhatsApp.

“Hanya kami tiga beradik yang tinggal di sekitar Lembah Klang, manakala yang lain duduk di Kelantan, termasuk adik kelapan. Semalam, (Rabu) adik kelapan ini datang ke rumah Wani dan tidur semalaman kerana ada urusan di sini.

“Dia juga sempat berpesan supaya jaga rumah tangga elok-elok. Tidak sangka malam ini terjadi kejadian yang memang amat mengejutkan kami semua, tetapi kami kena terima pemergiannya, sudah sampai masa dia (pergi),” katanya.

Jelasnya lagi, suspek juga dipercayai baru dibebaskan dari penjara beberapa hari lalu kerana kesalahan dadah dan difahamkan pasangan itu dalam proses perceraian.

Ditanya mengenai sikap adik perempuannya itu, Amran berkata, Norhazwani seorang yang ceria dan disenangi ahli keluarga serta rakan sekerja.

Tambahnya, dia dimaklumkan pihak majikan tempat adiknya bekerja akan membantu urusan membawa pulang jenazah ke Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan untuk dikebumikan.

“Buat masa ini, kami kena selesaikan urusan bedah siasat di Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban terlebih dahulu yang dijangka dijalankan pada Sabtu.

“Mungkin ahli keluarga lain akan tunggu di kampung sahaja, manakala saya akan uruskan urusan di sini bersama saudara-mara yang tinggal di sekitar sini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top