Peluasan SARA kepada hasil segar mampu kurang tekanan kos

Peluasan SARA kepada hasil segar mampu kurang tekanan kos

bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peluasan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada hasil segar, ikan, ayam dan barangan pasar basah meningkatkan kemampuan isi rumah mendapatkan makanan keperluan, khususnya dalam kalangan berpendapatan rendah dan sederhana.

Penganalisis BIMB Securities Research, Sabariah Akhair berkata, langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 itu adalah penambahbaikan penting kerana membolehkan sebahagian besar bantuan disalurkan kepada pembelian makanan asas, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Katanya, peluasan pembelian barangan berkenaan melalui premis terpilih Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut memperkukuh keberkesanan bantuan kerajaan dalam menyokong perbelanjaan makanan isi rumah.

“Peluasan ini adalah penambahbaikan bermakna kerana membolehkan sebahagian besar bantuan disalurkan kepada penggunaan makanan keperluan, selain meningkatkan kemampuan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana mendapatkan makanan,” katanya dalam laporan penyelidikan pasca-Belanjawan 2027.

Sabariah berkata, langkah berkenaan melengkapkan peningkatan peruntukan keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM16 bilion, berbanding RM15 bilion sebelum ini.

Katanya, bantuan SARA bulanan turut dinaikkan kepada RM150, membolehkan penerima yang layak menikmati bantuan sehingga RM1,800 setahun.

Selain itu, pengenalan SARA MADANI yang menyediakan bantuan RM100 sebanyak dua kali setahun kepada penerima bukan STR dijangka memperluas liputan bantuan kepada lebih ramai isi rumah.

Tambahnya, ketika ini ada 15,000 premis yang mengambil bahagian dalam program SARA, termasuk 6,800 peruncit kecil dan koperasi, dengan kerajaan menyasarkan penyertaan peruncit kecil meningkat kepada 10,000 premis menjelang akhir tahun ini.

Katanya, usaha memperkukuh kemampuan rakyat mendapatkan makanan turut disokong peningkatan peruntukan Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI daripada RM630 juta kepada RM750 juta, membabitkan sasaran 35,000 program jualan di seluruh negara.

Kerajaan juga memperuntukkan RM250 juta bagi memperluas pengedaran barangan keperluan ke kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk enam lokasi baharu di Sabah dan Sarawak.

“Gabungan pelbagai inisiatif berkenaan menunjukkan Belanjawan 2027 bukan sekadar menyediakan bantuan sekali bayar, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan kemampuan perbelanjaan isi rumah sepanjang tahun,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjangkakan syarikat yang mengeluarkan dan membekalkan barangan pengguna asas menjadi antara penerima manfaat terawal daripada peningkatan bantuan kerajaan.

Hal ini kerana, katanya, tambahan pendapatan isi rumah lazimnya digunakan terlebih dahulu untuk membeli barangan keperluan sebelum disalurkan kepada perbelanjaan bukan keperluan.

QL Resources Bhd, Farm Fresh Bhd, Nestlé (Malaysia) Bhd dan Dutch Lady Milk Industries Bhd dikenal pasti sebagai antara syarikat yang berpotensi mendapat manfaat daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan makanan.

“Peluasan penggunaan SARA kepada makanan segar dan saluran pasar basah mengukuhkan lagi prospek ini kerana sebahagian besar bantuan dijangka digunakan untuk pembelian makanan dan barangan keperluan isi rumah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sabariah berkata, Belanjawan 2027 turut memperluas sokongan kepada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) menerusi peningkatan pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 serta pengurangan kadar cukai pendapatan bagi kumpulan terpilih.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top