London: Penyerang Chichester City yang juga bekas pemain akademi Arsenal, Billy Vigar, 21, meninggal dunia pagi semalam selepas mengalami kecederaan otak serius ketika aksi Liga Isthmian menentang Wingate & Finchley, Sabtu lalu.
Menurut kelab separa profesional itu, Vigar diletakkan dalam keadaan koma selepas mengalami kecederaan di padang, sebelum menjalani pembedahan pada Selasa bagi membantu proses pemulihan.
Namun, usaha itu tidak berhasil dan dia menghembuskan nafas terakhir awal pagi semalam.
“Ucapan takziah kami yang paling mendalam buat keluarga Vigar dan rakan-rakannya pada saat yang amat sukar ini.
“Pantas, bertenaga dan penuh tekad… seluruh warga Arsenal amat bersedih dengan pemergian tragis ini,” kata Arsenal dalam satu kenyataan.
Vigar, yang menyertai akademi Arsenal sepenuh masa pada musim 2020/21, pernah dipinjamkan ke skuad Bawah 21 Tahun Derby County dan Eastbourne Borough sebelum menyertai Hastings United secara percuma pada 2024.
Dia menandatangani kontrak bersama Chichester City bulan lalu.
Chichester City turut mengesahkan perlawanan menentang Lewes yang dijadualkan Sabtu ini ditangguhkan susulan insiden berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




