suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan mengesahkan dua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 mengalami kecederaan ringan selepas terlibat dalam insiden serangan udara di kawasan berhampiran Haris, Lubnan, pagi ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian berlaku pada jam 9.25 pagi waktu tempatan kira-kira satu kilometer di barat Pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di Tibnin.
Katanya, pasukan MALBATT 850-13 ketika itu sedang melakukan konvoi logistik untuk menjalankan misi bekalan rutin ke Tyre.
“Akibat kejadian tersebut, dua anggota terkena serpihan cermin kenderaan dan mengalami kecederaan ringan manakala dua kenderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalami kerosakan material luaran.
“Sejurus selepas kejadian, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) MALBATT 850-13 dari UNP 6-43 telah diaktifkan dengan sokongan pasukan perubatan dan elemen logistik bagi membantu anggota terlibat serta menguruskan pemulihan kenderaan (vehicle recovery) yang terjejas kembali ke pangkalan.
“Pasukan yang tiba di lokasi telah melaksanakan penilaian keselamatan, memeriksa keadaan anggota dan kenderaan sebelum mengatur pergerakan konvoi kembali ke pangkalan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, kedua-dua anggota yang cedera telah menerima rawatan dan pemeriksaan perubatan serta berada dalam keadaan stabil.
Katanya, tiada kecederaan serius mahupun kematian dilaporkan dan waris anggota yang terlibat juga sudah dimaklumkan mengenai insiden ini.
“Sebagai langkah memperkukuh keselamatan anggota, MALBATT 850-13 telah meningkatkan langkah berjaga-jaga termasuk memperketat prosedur pergerakan konvoi, mempertingkat pemantauan situasi keselamatan semasa san
memperkukuh koordinasi dengan pihak UNIFIL (Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).
“Selain itu, turut dilaksanakan penilaian
risiko yang lebih menyeluruh sebelum sebarang pergerakan di kawasan operasi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau keadaan keselamatan di kawasan operasi serta memastikan tahap kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Ia bagj menjamin keselamatan serta kelancaran pelaksanaan mandat misi pengaman di Lubnan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




