KLTBA sambut Jubli Emas dengan KLIO26 terbesar, tawar hadiah RM355,820

KLTBA sambut Jubli Emas dengan KLIO26 terbesar, tawar hadiah RM355,820

PERSATUAN Tenpin Boling Kuala Lumpur (KLTBA) menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya dengan penuh gemilang menerusi penganjuran Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur MILO 2026 (KLIO26) yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid dari 13 hingga 21 Jun ini.

Edisi kali ini menjadi yang terbesar dalam sejarah penganjuran kejohanan itu apabila menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM355,820, peningkatan RM50,000 berbanding tahun lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kejohanan boling paling berprestij dan lumayan di negara ini.

Kejohanan berkenaan bakal menghimpunkan barisan pemain terbaik negara bersama pemain profesional antarabangsa dari Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Thailand, selain disertai sepenuhnya oleh skuad kebangsaan Malaysia sebagai sebahagian daripada tugasan rasmi pasukan negara.

Tumpuan peminat pastinya terarah kepada beberapa nama besar negara termasuk juara dunia, Rafiq Ismail yang baru muncul juara Terbuka Malaysia buat kali ketiga, bekas juara Asia, Timmy Tan, juara Jelajah PBA, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Natasha Roslan serta juara Jelajah PWBA, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

Bagi kategori utama Terbuka Campuran, juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, manakala naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing menerima RM15,000 dan RM10,000.

Menariknya, format campuran lelaki dan wanita terus dikekalkan dengan pemain wanita diberikan kelebihan handicap tujuh pin bagi setiap permainan, selain ganjaran khas kepada pemain wanita terbaik.

Malah, seorang pemain wanita yang muncul juara keseluruhan berpeluang membawa pulang hadiah keseluruhan sehingga RM38,000 hasil gabungan hadiah utama dan insentif khas yang ditawarkan penganjur.

Kehadiran pemain antarabangsa dijangka menambah sengit saingan apabila Jepun menghantar beberapa pemain terbaik mereka termasuk pemain nombor satu Persatuan Boling Profesional Jepun (JPBA) 2025, Manon Ishida dan pemain nombor dua JPBA 2025, Mizuki Nakashima yang memiliki 10 gelaran profesional sepanjang kariernya.

Korea Selatan pula bakal mempertaruhkan dua pasukan di bawah Korea Professional Bowling Association (KPBA) yang dibarisi 13 pemain termasuk Jeong Tae Hwa yang dijangka mampu memberi cabaran hebat kepada pemain tempatan.

Dalam usaha memperkasakan sukan inklusif, KLIO26 turut mencatat rekod penyertaan atlet para paling tinggi apabila melibatkan 270 peserta dari Malaysia dan Singapura, meningkat berbanding kurang 200 atlet pada tahun lalu.

Program para kali ini mempertandingkan acara individu dan beregu melibatkan pelbagai klasifikasi termasuk cacat penglihatan, kurang upaya intelektual, spastik, pengguna kerusi roda serta atlet amputasi, selain menawarkan hadiah wang tunai khas kepada pemenang.

Presiden KLTBA, Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim berkata, sambutan Jubli Emas kali ini bukan sahaja meraikan perjalanan lima dekad persatuan itu dalam membangunkan sukan boling negara, malah menjadi bukti komitmen berterusan KLTBA dalam memastikan peluang pertandingan berkualiti dapat dinikmati semua lapisan atlet termasuk golongan para.

“Selama lima dekad, KLTBA kekal komited dalam membangunkan sukan boling di semua peringkat, daripada program akar umbi dan belia sehinggalah kepada pertandingan elit serta para. Kami berbangga kerana KLIO terus menjadi platform yang menghimpunkan pemain kebangsaan, pemain profesional antarabangsa, atlet para dan bakat muda di bawah satu bumbung,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan penyertaan daripada skuad kebangsaan, pemain antarabangsa dan atlet para tahun ini mencerminkan perkembangan positif kejohanan tersebut, selain membuktikan sukan boling terus berkembang sebagai antara sukan yang mempunyai ekosistem pembangunan paling menyeluruh di negara ini.

Scroll to Top