khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa peniaga hari ini menzahirkan komitmen dalam pematuhan peraturan mengenai paparan terbuka terhadap semua produk rokok dan vape yang bermula 1 Oktober ini.
Tinjauan Harian Metro juga mendapati, terdapat kedai serbaneka telah mula menutup produk rokok yang kebiasaannya dipamerkan di belakang kaunter.
Peniaga, Anthony Kok, 47, berkata, pihaknya akan mengikut arahan dan peraturan ditetapkan oleh kerajaan yang melarang paparan terbuka terhadap produk rokok yang dijual kepada orang awam.
“Kita akan bekerjasama dan ikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.
Kerajaan melaksanakan larangan terhadap paparan terbuka semua produk rokok dan vape bermula 1 April lalu.
Di bawah undang-undang itu, produk rokok dan vape tidak lagi boleh dipamerkan kepada orang awam di premis runcit bagi mengelakkan usaha promosi secara tidak langsung.
Pada 1 Oktober ini, pelaksanaan penuh Peraturan 6, Peraturan Kawalan Kesihatan Awam (Kawalan Jualan) 2024 iaitu larangan paparan runcit (RDB) akan mula berkuat kuasa.
Individu didapati tidak mematuhi RDB boleh dikenakan denda antara RM500 hingga RM30,000 manakala organisasi boleh didenda sehingga RM300,000 atau dipenjarakan.
Mengulas lanjut, Anthony bagaimanapun berkata, sehingga kini syarikat pembekal belum lagi membekalkan sampel untuk menutup paparan rokok seperti yang mula dilaksanakan di beberapa kedai serbaneka.
“Kalau pembekal ada bekalkan sampel, kami akan ikut tutup. Setakat hari ini, mereka belum lagi beri sampel,” katanya.
Menurutnya, langkah yang diambil oleh kerajaan itu dilihat dapat mengurangkan lagi individu yang menghisap rokok atau vape di negara ini.
Seorang lagi peniaga, Sameer Ali, 25, menyatakan akan menutup daripada memaparkan penjualan vape di kedainya seperti yang diarahkan oleh kerajaan tidak lama lagi.
Katanya, dia juga akan menghabiskan produk vape yang masih ada dan tidak lagi menjualnya selepas ini.
“Kita akan bekerjasama dengan langkah kerajaan untuk peniaga tidak memaparkan produk vape kepada orang awam.
“Bahkan saya juga akan habiskan stok vape yang ada di kedai sebelum 1 Oktober ini. Selepas itu, saya tak akan jual vape lagi disebabkan langkah tidak benarkan tunjuk jualan ini,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pekerja sebuah kedai serbaneka yang enggan namanya dikenali memaklumkan, mereka telah mula menutup produk rokok yang kebiasaannya dipamerkan pada Isnin lalu.
Menurutnya, disebabkan penutupan itu juga, terdapat pelanggan yang bertanya sama ada rokok sudah lagi tidak dijual.
“Disebabkan produk rokok ini telah ditutup, ada pelanggan yang bertanya sama ada rokok sudah tidak dijual lagi di kedai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




