Pelakon dan aktivis bebas, Rafidah Ibrahim berdepan risiko diisytiharkan muflis, dan kemungkinan aset disita jika gagal memberi maklum balas berhubung bayaran saman berjumlah lebih RM200,000 kepada ahli perniagaan, Datuk Haris Embong serta syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn Bhd.
Haris ketika sidang media pada Jumaat memaklumkan, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang bayaran atau respons daripada Rafidah berhubung jumlah ganti rugi RM281,200 seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Julai 2024.
“Sehingga hari ini, lebih 422 hari berlalu sejak keputusan mahkamah dibuat, namun Rafidah masih gagal mematuhi terma pembayaran ganti rugi dan kos,” katanya.
Menurut Haris, pihaknya menerusi firma guaman telah mengeluarkan notis tuntutan kedua pada 19 September lalu dengan memberikan tempoh tujuh hari kepada Rafidah untuk melunaskan bayaran berkenaan.
“Peguam Rafidah mengesahkan penerimaan notis pada 22 September, namun tiada sebarang bayaran dibuat sehingga kini,” jelasnya.
Sementara itu, peguam mewakili Haris, Alvin Dev Singh, berkata pihaknya sedang meneliti tindakan susulan termasuk mengambil langkah menyenaraikan aset milik Rafidah atau memohon pengisytiharan muflis di mahkamah.

Dalam pada itu, Haris menegaskan tindakan saman yang diambil tidak mempunyai kaitan dengan sebarang isu politik atau kontroversi lain membabitkan Rafidah.
“Sejak tercetusnya isu ini, saya dan syarikat berdepan pelbagai persepsi negatif, malah dihujani tuduhan serta komen daripada netizen sehingga menjejaskan reputasi kami.
“Justeru, tindakan ini semata-mata demi membersihkan nama saya sebagai usahawan dan menjaga reputasi syarikat. Ia langsung tidak ada kena-mengena dengan politik, baik kerajaan mahupun pembangkang. Kebetulan saja nama saya terheret,” tegasnya.
Difahamkan, Rafidah telah memfailkan rayuan pada Ogos 2024 terhadap keputusan mahkamah, namun tidak membuat sebarang permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut.
Haris turut memaklumkan sekiranya rayuan berkenaan ditolak, dia bersedia mempertimbangkan bayaran secara ansuran.
Difahamkan, Rafidah pernah dilantik sebagai Ketua Pemasaran Aris Burger pada 2021 sebelum kontrak ditamatkan pada Ogos di tahun sama.
Tidak lama selepas itu, Rafidah didakwa memuat naik kenyataan di media sosial menuduh Haris terbabit salah laku seksual serta menuduh syarikatnya tidak beretika.
Berikutan itu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Rafidah membayar ganti rugi RM100,000 kepada Haris, RM150,000 kepada Arisprop Holdings, selain faedah lima peratus setahun, kos guaman RM30,000 dan fi alokator RM1,200.




