sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kelab Argentina, Velez Sarsfield mengesahkan pemainnya, Imanol Machuca dilarang beraksi bersama kelabnya selagi belum ada keputusan baharu daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung pemalsuan dokumen ketika mewakili Malaysia.
Menurut kenyataan rasmi kelab itu, mereka menerima notis rasmi daripada Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) mengenai keputusan FIFA itu semalam yang menyaksikan Machuca digantung sepanjang tempoh berkenaan daripada terbabit bersama kelabnya.
“Sehingga ada notis baharu, pemain kami tidak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana perlawanan yang dimainkan kelab,” kata Velez dalam satu kenyataan rasmi.
Kelab itu turut menegaskan bahawa mereka tidak terlibat dalam proses disiplin FIFA sekali gus tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam keputusan berkenaan.
“Pada masa sama, kami sentiasa berhubung dengan Machuca untuk memantau kes ini dan memberikan sokongan kepada beliau sepanjang proses tersebut,” katanya.
Untuk makluman, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan tujuh pemain kacukan berkenaan untuk diturunkan dalam aksi rasmi Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




