Nekad selam dalam lubang untuk selamatkan budak

Nekad selam dalam lubang untuk selamatkan budak

am@hmetro.com.my

Nilai: Tanpa sebarang peralatan keselamatan dan sedar risiko dihadapi, lelaki ini nekad menyelam ke dasar tangki septik bagi menyelamatkan kanak-kanak yang terjatuh ke dalamnya.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi semalam, kanak-kanak, 9, lemas selepas dikatakan terjatuh ke lubang pembentungan dekat sebuah sekolah di Lenggeng, di sini.

Muhammad Arsyad Jahaya, 35, berkata, dia berada di sekolah berkenaan kerana hadir pada hari sukan sekolah.

“Waktu itu saya sedang buat video ketika anak-anak pra sekolah mahu memulakan acara larian. Keadaan mula kecoh dan murid diminta untuk berkumpul di padang.

“Tiba-tiba seorang guru hampiri saya dan bertanya sama ada saya pandai berenang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Muhammad Arsyad, guru berkenaan memintanya supaya ke lokasi kejadian dan memberitahu terdapat seorang kanak-kanak terjatuh ke lubang pembentung.

“Waktu sampai, memang lubang sudah terbuka, namun airnya tenang. Saya pula dalam masih dalam keadaan tak percaya bahawa ada budak terjatuh dan berkira-kira untuk turun.

“Saya ambil masa dalam dua ke tiga minit juga kerana memikirkan faktor keselamatan ditambah memang tiada sebarang peralatan yang sesuai. Lebih-lebih lagi tiada pengesahan sama ada betul ada mangsa di dalam lubang itu.

“Dalam pada itu orang ramai sudah panggil bomba. Saya fikir sementara untuk bomba sampai, baik periksa dahulu dan mula turun dengan berpaut pada satu penapis.

“Waktu itu air sudah berada pada paras leher saya, tetapi kaki belum jejak ke dasar. Saya minta orang bagi kayu untuk ukur kedalaman dan mula mengagak kedalamannya,” katanya.

Tambahnya, perkara yang membuatkannya betul-betul nekad untuk menyelam apabila topi dan sebelah kasut mangsa timbul ke dasar selepas mengukur kedalaman menggunakan kayu.

“Memang saya dapat rasa ada objek terlanggar kayu yang digunakan untuk ukur. Tiba-tiba timbul topi dan kasut dan saya rasa ini adalah petunjuk yang diberikan supaya saya menyelam dan menyelamatkan mangsa.

“Saya terus menyelam dan cari tangannya sebelum dapat capai lalu menolaknya ke atas terlebih dahulu. Orang ramai menyambut di atas sebelum saya pula timbul di permukaan,” katanya.

Beliau berkata, kedalaman tangki berkenaan dianggarkan 2.4 meter dan memang tidak nampak apa-apa kerana airnya hitam dengan gas dan bau yang kurang menyenangkan.

Namun, jelasnya dia sedikit agak terkilan kerana membawa mangsa dalam keadaan tidak bernyawa dan sehingga ke hari ini kejadian itu masih bermain di fikirannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top