London: Minggu-minggu terakhir musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dijangka penuh debaran apabila Manchester City dan Arsenal terus bersaing sengit memburu gelaran juara.
Selepas kemenangan City ke atas Arsenal dan Burnley, skuad kendalian Pep Guardiola kini memintas kelab London itu untuk berada di tangga teratas.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan sebenarnya sukar dipisahkan apabila masing-masing mengumpul 70 mata, selain turut memiliki perbezaan gol +37.
Satu-satunya sebab City berada di depan pasukan Mikel Arteta ialah jumlah jaringan, iaitu 66 gol berbanding 63 milik Arsenal. Namun dengan lima perlawanan liga masih berbaki, banyak perkara boleh berubah sebelum musim berakhir.
Jika Arsenal mahu menjulang trofi EPL, mereka perlu meraih mata maksimum dalam tiga perlawanan seterusnya menentang Newcastle United malam esok, Fulham pada 2 Mei dan West Ham United pada 10 Mei.
Newcastle tewas dalam dua pertemuan terakhir menentang Arsenal, tetapi mereka juga memenangi dua aksi sebelumnya menentang The Gunners.
Empat daripada lima pertemuan terakhir Arsenal dan Newcastle di EPL berakhir dengan beza satu gol sahaja, sesuatu yang mungkin memberi kesan besar jika kejuaraan ditentukan menerusi perbezaan gol.
Arteta mungkin menang dalam dua aksi terakhir menentang Fulham, namun Arsenal gagal menang dalam tiga perlawanan sebelumnya menentang The Cottagers, malah kemenangan mereka juga sekadar dengan kelebihan satu gol.
Perlawanan menentang Fulham juga berlangsung di celah aksi separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, dan ada kemungkinan Arsenal perlu mengutamakan salah satu pertandingan.
West Ham pula memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, dan mereka kelihatan lebih kukuh dari segi pertahanan di bawah Nuno Espirito Santo yang mencatat tiga kemenangan dan tiga seri dalam 11 perlawanan sebagai pengurus menentang Arsenal.
Dua aksi terakhir Arsenal adalah menentang Burnley dan Crystal Palace. Burnley sudah pun tersingkir, manakala Palace mungkin merehatkan ramai pemain utama jika mereka mara ke final Liga Konferens Eropah yang berlangsung selepas musim domestik tamat.
Manchester City pula akan menentang Southampton dalam Piala FA tengah malam esok dan mereka mungkin ketinggalan enam mata di belakang Arsenal sebelum kembali beraksi di EPL menentang Everton pada 4 Mei.
City hanya gagal menewaskan Everton sekali dalam enam pertemuan terakhir, selain memenangi sembilan aksi terakhir di tempat lawan menentang The Toffees, dengan lapan daripadanya dimenangi sekurang-kurangnya dua gol.
Skuad Guardiola kemudian akan berdepan dua ujian sukar menentang Brentford di Etihad pada 9 Mei dan Bournemouth di Vitality pada 17 Mei. Bournemouth ketika ini tidak tewas dalam 14 perlawanan liga.
Dalam tempoh itu, The Cherries menewaskan Liverpool dan Arsenal, selain mengikat Aston Villa dan Manchester United.
Dua aksi terakhir City dalam liga ialah menentang Crystal Palace dan Aston Villa dengan Palace mungkin memberi tumpuan penuh kepada kempen Liga Konferens, sekali gus tidak sekuat seperti sebelumnya.
Villa pula mungkin beraksi dalam final Liga Europa pada 20 Mei, hanya empat hari sebelum bertemu City pada minggu ke-38, menjadikan peluang mereka berada pada tahap terbaik agak tipis.
Akan menjadi kejutan jika sama ada City atau Arsenal berjaya meraih mata maksimum daripada lima baki perlawanan mereka.
Jika kedua-dua pasukan berjaya mengharungi tiga perlawanan seterusnya dengan sembilan mata penuh, kejuaraan mungkin ditentukan oleh siapa mampu menjaringkan lebih banyak gol dalam dua aksi terakhir.
Arsenal sudah memenangi 21 perlawanan liga musim ini, tetapi 11 daripadanya hanya dengan beza satu gol. Sebaliknya, hanya sembilan daripada 21 kemenangan City hadir dengan margin satu gol.
Ada kemungkinan Arteta sekali lagi terpaksa melihat pasukannya gagal mengambil kesempatan atas kelemahan Manchester City, kecuali jentera serangan Arsenal mampu meningkatkan ketajaman di bahagian serangan pada saat-saat akhir musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




