am@hmetro.com.my
Shah Alam: Selangor mengenalpasti sebanyak 688 kuil Hindu yang beroperasi tanpa kebenaran di negeri ini setakat 16 April tahun ini.
Exco Pembasmian Kemiskinan dan Sumber Manusia Negeri, V Papparaidu berkata, jumlah berkenaan membabitkan kuil yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan dan tanah persendirian.
“Kuil yang dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran berjumlah 433 dengan daerah Petaling tertinggi sebanyak 96 kuil, dikuti Kuala Selangor (81), Gombak (57), Hulu Langat (55), Klang (45), Kuala Langat (36), Sepang (34) dan Hulu Selangor (29).
“Sebanyak 255 kuil dibina di atas tanah milik tanpa kebenaran membabitkan daerah 126 kuil di Kuala Selangor, diikuti Kuala Langat (38), Sepang (28), Hulu Selangor (22) Klang (20), Hulu Langat (12)., Petaling (8), Sabak Bernam (2) dan Gombak (1).
“Berdasarkan inventori di sembilan Pejabat Daerah Tanah sehingga 16 April lalu terdapat 285 buah kuil yang dibina secara sah dan 688 kuil yang dibina tanpa kebenaran dengan jumlah keseluruhan sebanyak 973 buah,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan S. Preakas (PH – Kota Kemuning) mengenai kuil dan tanah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri mengenal pasti lot tanah yang dirizabkan bagi tujuan rumah ibadat selain Islam (RISI) di lokasi tertentu di seluruh negeri Selangor.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri sedang meneliti kesesuaian lot berkenaan dari segi perancangan, status tanah serta keperluan setempat.
“Ini termasuklah sebagai opsyen penempatan semula bagi rumah ibadat yang sudah lama dibina tetapi tidak dapat diwartakan di tapak sedia ada.
“Pendekatan ini diambil bagi memastikan penyelesaian yang lebih tersusun, praktikal dan selaras dengan keperluan perundangan serta keharmonian masyarakat,” katanya
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) berkata, permohonan pemberi milikan dan pewartaan tanah hendaklah mematuhi peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965.
“Setiap permohonan akan dinilai secara menyeluruh oleh jabatan teknikal berkaitan dengan mengambil kira status tanah, zon guna tanah dan keperluan teknikal yang dikawal selia oleh agensi masing-masing, sebelum dipertimbang untuk kelulusan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
“Berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil.2/2010 bertarikh 26 Jun 2010, semua tapak rumah ibadat hanya akan dipertimbangkan untuk pewartaan dan dikawal selia oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Bagi Permohonan pewartaan tapak rumah ibadat selain Islam, permohonan tersebut akan dibentangkan dahulu di Mesyuarat LIMAS sebelum diangkat untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




