Malaysia merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang tidak melaksanakan catuan bekalan bahan api meskipun dunia kini berdepan krisis bekalan global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, beberapa negara jiran di Asia Tenggara sudah mula melaksanakan langkah catuan, malah ada yang terpaksa menutup sehingga 400 stesen minyak akibat kehabisan bekalan.
“Minyak RON95 diberikan dengan kos yang paling rendah di dunia RM1.99 seliter. Harga diesel tinggi tetapi untuk petani, nelayan, bas sekolah, pengangkutan semuanya diturunkan.
“Berapa kos RON95 negara jiran? Ada yang mencecah RM10.50 seliter, ada yang RM4, ada yang RM6. Kita berapa? RM1.99,” katanya pada Jumaat.
Kredit Foto: Fath Rizal | Pejabat Perdana Menteri
Kredit Foto: Fath Rizal | Pejabat Perdana Menteri
Anwar berkata, kestabilan bekalan bahan api negara ketika ini adalah hasil langkah awal kerajaan termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi serta hubungan diplomatik yang baik dengan beberapa negara pengeluar utama.
Beliau turut menjelaskan kerjasama antarabangsa membolehkan kapal Malaysia melalui laluan strategik seperti Selat Hormuz bagi mendapatkan bekalan tenaga.
“Mana ada negara yang dilepaskan tangki minyak melalui Selat Hormuz. Itu pun ada pemimpin parti politik pembangkang cakap tak ada lalu Selat Hormuz, inilah tidak ada sikap tawaduk untuk mencari fakta,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu turut bersetuju menambah anggota polis dan penguat kuasa di sempadan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan bahan api yang semakin serius.
“Minyak kita terlalu murah dan penyeludupan terlalu tinggi, bila seludup ini maknanya wang negara keluar jadi kita terpaksa kawal kerana berbilion ringgit hilang kerana penyeludupan,” katanya.
Kredit Foto: Fath Rizal | Pejabat Perdana Menteri
Beliau berkata, kerajaan juga telah memberi taklimat kepada beberapa pemimpin termasuk menteri besar, ketua menteri dan premier Sarawak bagi menyelaras langkah menangani isu berkenaan.
Artikel lain: Stok diesel makin kritikal, pergerakan ahli Kabinet mungkin dihadkan – PM Anwar
Anwar turut menasihatkan rakyat supaya lebih memahami isu ekonomi dan geopolitik semasa agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat di media sosial.
Dalam perkembangan lain, beliau mendedahkan krisis bekalan global turut menyebabkan Australia meminta bekalan diesel daripada Malaysia dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese baru-baru ini.
“Beliau (Albanese) berbincang, boleh tidak ambil diesel dari Malaysia, saya katakan diesel tidak ada, minyak (diesel) kalau ada lebih, kita boleh eksport,” ujar beliau.




