suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kegiatan sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai menjadikan Jambatan Putra, Putrajaya sebagai lokasi rakaman kandungan media sosial akhirnya memakan diri apabila dua daripadanya ditahan polis selepas video aksi berbahaya mereka tular.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan hantaran tular di media sosial yang menunjukkan dua motosikal berkuasa tinggi dipercayai ditunggang secara berbahaya di lokasi itu, semalam.
“Hasil siasatan awal, pihak JSPT Kuala Lumpur telah berjaya mengesan salah seorang penunggang motosikal yang terlibat sebelum individu tersebut tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membantu siasatan.
“Suspek lelaki tempatan berumur 31 tahun itu, mengaku sebagai pemilik salah sebuah motosikal terlibat dan mengesahkan kejadian berkenaan berlaku pada Ahad lalu, sekitar jam 12.30 tengah malam.
“Siasatan awal turut mendapati kumpulan tersebut berada di lokasi berkenaan bagi tujuan berkumpul dan menghasilkan kandungan media sosial dan bukan semata-mata untuk tujuan perlumbaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Bagaimanapun, Zamzuri berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti tujuan sebenar kejadian tersebut.
Katanya, siasatan awal turut mendapati kumpulan berkenaan dipercayai pertama kali berkumpul di lokasi itu yang terletak berhampiran Masjid Putra.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, pihak JSPT Kuala Lumpur telah berjaya mengesan kedua-dua penunggang yang terlibat.
“Kedua-dua suspek iaitu lelaki tempatan Melayu berumur yang masing-masing berumur 31 tahun dan 33 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan motosikal yang digunakan turut disita,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, kedua-dua suspek sudah diambil keterangan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Pihak JSPT Kuala Lumpur kini sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam rakaman video tersebut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




