Mazda telah memperkenalkan versi baharu Mazda CX-6e menjelang Beijing Auto Show 2026 sebagai sebahagian daripada strategi elektrifikasinya. Model ini tidak membawa perubahan besar dari segi kejuruteraan, tetapi diperkemas dari sudut spesifikasi dan penawaran nilai untuk kekal kompetitif dalam pasaran EV China yang sangat sengit.
Dari segi harga, CX-6e kini bermula sekitar RM96,000 hingga RM97,000 ia berada dalam kategori SUV elektrik mampu milik, terutamanya jika dibandingkan dengan model dari jenama global lain dalam segmen sama.
CX-6e dibina atas platform EPA hasil kerjasama Mazda dengan Changan, dan hadir dengan dimensi yang agak besar untuk kelasnya. Dengan panjang sekitar 4,850 mm dan jarak roda 2,902 mm, ia menawarkan ruang dalaman yang luas serta sesuai untuk kegunaan keluarga.
Di bahagian dalaman, antara elemen paling menonjol ialah penggunaan skrin panoramic bersaiz sekitar 26.45 inci yang merentasi dashboard. Ini menunjukkan Mazda mula mengikuti trend EV China yang menekankan pengalaman digital dalam kabin, dengan pendekatan minimalis tetapi sarat teknologi.

Dari sudut kuasa, CX-6e menggunakan konfigurasi motor elektrik tunggal di gandar belakang dengan output 255 hp bagi kedua-dua versi EV dan EREV. Ini membolehkan SUV ini mencapai kelajuan maksimum sekitar 185 km/j, satu angka yang mencukupi untuk kegunaan harian dan lebuh raya.
Bagi versi EV sepenuhnya, ia dilengkapi bateri 77.94 kWh jenis LFP yang dibekalkan oleh CALB. Kapasiti bateri yang besar ini membolehkan jarak pemanduan sekitar 480 km (CLTC), menjadikannya sesuai untuk penggunaan harian tanpa perlu kerap mengecas.
Versi EREV pula menggunakan bateri lebih kecil iaitu 31.73 kWh LFP, yang dibekalkan oleh usaha sama antara CATL dan Changan. Walaupun kapasiti bateri lebih kecil, ia disokong oleh enjin petrol 1.5 liter aspirasi normal dengan output sekitar 97 hp yang berfungsi sebagai generator. Enjin ini tidak memacu roda secara langsung, sebaliknya hanya menjana tenaga elektrik untuk menyokong bateri apabila cas rendah.
Dengan kombinasi ini, versi EREV mampu menawarkan jarak keseluruhan sehingga sekitar 1,300 km (CLTC), menjadikannya pilihan yang sangat praktikal untuk perjalanan jauh. Dari segi penggunaan bahan api ketika enjin generator aktif, kadar penggunaan dianggarkan sekitar 5–6 L/100 km, yang masih efisien untuk SUV dalam saiz ini.

Mazda terus menekankan aspek kecekapan aerodinamik, dengan penggunaan sembilan saluran udara (air ducts) yang ditempatkan di sekitar bonet, bampar dan bahagian sail panel. Reka bentuk ini membantu mengurangkan rintangan angin, sekaligus meningkatkan kecekapan tenaga terutamanya untuk varian elektrik.
Hasilnya, CX-6e mencatatkan pekali seretan (Coefficient of Drag, Cd) serendah 0.258, satu angka yang cukup kompetitif dalam segmen SUV elektrik. Nilai ini hampir setanding dengan pesaing seperti Xiaomi YU7 yang mencatatkan 0.245 Cd, serta Xpeng G9 dengan 0.272 Cd. Ini menunjukkan Mazda bukan sekadar mengejar reka bentuk, tetapi juga memberi perhatian serius kepada kecekapan aerodinamik.
Dari segi roda, kedua-dua varian EV dan EREV didatangkan standard dengan rim bersaiz 19 inci. Bagi mereka yang mahukan penampilan lebih sporty dan prestasi lebih baik, Mazda turut menawarkan pilihan rim 21 inci sebagai opsyen tambahan, lengkap dengan tayar berprestasi tinggi Michelin Pilot Sport 4 SUV. Kombinasi ini bukan sahaja meningkatkan cengkaman, tetapi juga memberikan karakter pemanduan yang lebih dinamik.
Dengan kuasa 255 hp, pilihan antara EV dan EREV, serta harga sekitar bawah RM100k di China, model ini jelas menunjukkan pendekatan Mazda yang lebih agresif dalam menawarkan nilai kepada pengguna. Walaupun bukan model paling canggih dalam segmen, kombinasi spesifikasi dan harga menjadikannya sangat kompetitif dalam pasaran EV yang semakin mencabar.




