am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Tindakan pemandu Toyota Vellfire memasuki laluan bas di laluan masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, semalam, dipercayai menjadi punca pergaduhan antara pemandu e-hailing dengan pemandu bas
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 3 petang .
Katanya, kejadian membabitkan seorang pemandu e-hailing iaitu lelaki berumur 28 tahun dan seorang pemandu bas berumur 43 tahun yang juga warga tempatan.
“Pergaduhan bermula selepas berlaku pertikaian apabila Toyota Vellfire dipandu pemandu e-hailing itu didakwa memasuki laluan bas.
“Berlaku provokasi antara kedua-duanya sehingga menyebabkan pemandu bas memberhentikan kenderaan dan bersemuka dengan pemandu e-hailing terbabit.
“Pergelutan fizikal sehingga keduanya mengalami kecederaan ringan di kepala, leher dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Raub, kedua pihak kemudian hadir ke Balai Polis dan membuat laporan berhubung kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
Terdahulu tular video berdurasi 14 saat memaparkan pergelutan dua individu di tengah jalan dengan kenderaan berhenti dipercayai di atas Tambak Johor, sebelum ditenangkan seorang lelaki.
© New Straits Times Press (M) Bhd




