Terengganu tagih pengalaman Faizal bantu pemain muda

Terengganu tagih pengalaman Faizal bantu pemain muda

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad hoki Terengganu menagih khidmat penyerang berpengalaman, Faizal Saari untuk membantu pemain muda mempertahankan kejuaraan Piala Tun Razak pada edisi kali ini.

Ia berikutan beberapa tonggak utama perlu bersama pasukan negara.

Ketua jurulatih Terengganu, Mohd Harfizi Baharom berkata, mereka sudah berlatih bersama-sama hampir sembilan hari dalam usaha meningkatkan lagi kesefahaman pemain agar taktikal serta perancangan boleh diterjemahkan di dalam padang.

Malah, beliau mengakui kehilangan tonggak penting memberi sedikit sebanyak kesan, tetapi masih percaya Faizal adalah seorang pemain cukup berbakat serta mampu membantu rakan sepasukan agar boleh menampilkan permainan meyakinkan.

“Insya-Allah pemain sudah bersedia. Walaupun ada beberapa tonggak utama kini bersama skuad kebangsaan dan tidak beraksi pada edisi kali ini, kita ada tambah baik dengan beberapa pemain muda.

“Saya melihat ini adalah peluang terbaik untuk mereka cepat menyesuaikan diri dan belajar dengan pemain senior seperti Faizal dan penjaga gol, Zaimi Mat Deris,” katanya pada sesi sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Harfizi menyatakan Terengganu kehilangan tujuh pemain utama dan itu memberi sedikit cabaran dalam merencanakan strategi ampuh terutama di bahagian tengah.

“Kita memang tahu kualiti Fitri Saari, bila dia ada dalam pasukan, bahagian tengah lebih kukuh, tetapi kali ini dia tiada dan sudah pasti memberi sedikit kesan.

“Cuma kita cuba kemas kini dan tambah baik dengan pemain sedia ada agar mereka boleh menggalas tugas itu dengan sebaik mungkin,” katanya.

Tahun lalu, Terengganu menewaskan Johor 2-1 di final dan Faizal memenangi anugerah penjaring terbanyak kejohanan dengan 19 gol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top