harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Guna permit pemborong sah untuk dapatkan Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi sebelum dipindahkan ke tong gas berkapasiti 50 kilogram (kg) untuk dijual kepada pemain industri pada harga pasaran.
Kegiatan keji sindiket itu bagaimanapun terbongkar menerusi Op Tiris 4.0 selepas gerak-geri mereka diekori sepasukan pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur.
Selepas kira-kira dua minggu menjalankan risikan, pasukan KPDN Kuala Lumpur berjaya menemukan dan menyerbu stor simpanan gas yang berselindung di sebalik kawasan bersemak samun di kawasan perindustrian di Semenyih, di sini, hari ini.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, sindiket itu dipercayai mengaut untung berlipat kali ganda dengan menjual semula tong gas LPG berkapasiti 50kg kepada pemain industri pada harga mencecah RM200 sejak sebulan lalu.
“Mereka menggunakan kira-kira tiga tong LPG 14kg yang dipindahkan ke dalam tong 50kg yang kemudian dijual kepada industri berkaitan pada harga tinggi.
“Di sini kita dapati sebanyak 325 tong LPG berkapasiti 14kg dan 50kg. Barangan kawalan LPG ini berjumlah 5,500kg (5.5 tan) yang kita sita pada hari ini selain daripada tangkapan lima pekerja warga asing.
“Selain itu, kita juga serbu satu lagi lokasi iaitu di Wangsa Maju rampasan sebanyak 245 LPG berkapasiti 14kg dan 50kg membabitkan sindiket sama,” katanya pada sidang media di lokasi, di sini, hari ini.
Menurutnya, serbuan itu dijalankan dengan bantuan Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai daripada KPDN Selangor.
Katanya, pihaknya turut menahan tujuh pekerja warga asing dan seorang pekerja tempatan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an serta menyita dua buah lori disyaki digunakan untuk kegiatan itu.
“Secara ringkas, jumlah rampasan KPDN KL pada hari ini adalah berjumlah RM185,000.
Untuk maklumat tambahan, stor yang kita ada pada hari ini adalah satu stor yang dilakukan aktiviti dicanting (pemindahan gas) haram.
“Kemudian mereka akan bawa (gas kapasiti 50kg) ke Wangsa Maju untuk melaksanakan transaksi pemindahan ataupun jualan terus kepada peruncit-peruncit sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Mohd Sabri berkata pihaknya akan membatalkan permit pemborong syarikat terbabit dalam kegiatan itu dan tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil.
Beliau berkata sindiket kini menjalankan aktiviti pemindahan gas bersubsidi di luar ibu negara berikutan operasi penguatkuasaan sering dijalankan di Kuala Lumpur menyebabkan penjenayah mengubah taktik mereka.
Katanya, KPDN KL akan mengambil tindakan tegas termasuk pembatalan permit mana-mana syarikat yang didapati menyeleweng gas LPG bersubsidi.
“Mereka mendapat bekalan tong subsidi 14kg ini daripada pembekal yang pemborong yang berlesen, tapi mereka melakukan penyelewengan.
“Bagaimanapun kita akan macam saya sebut tadi, siasat sampai kepada pembekal atau pemborong yang sekiranya mereka turut terlibat di dalam aktiviti penyelewengan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




