Nak kejar ambulans punya hal, 4 cedera akibat kemalangan

Nak kejar ambulans punya hal, 4 cedera akibat kemalangan

am@hmetro.com.my

Kulim: Mahu mengejar ambulans yang membawa neneknya ke hospital, seorang pemandu kereta Perodua Bezza melanggar lampu isyarat di Kulim Hi Tech sehingga menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan lima kenderaan.

Kemalangan empat buah kereta itu turut membabitkan sebuah motosikal yang dinaiki dua pelajar kolej berusia 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang itu, sebuah kereta Perodua Bezza yang sedang mengekori sebuah ambulans swasta melanggar lampu isyarat merah.

Menurutnya, perbuatan itu menyebabkan ia bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina yang dipandu seorang wanita berusia 36 tahun yang ketika itu berada di laluan yang sah.

“Akibat daripada kemalangan itu, kereta Grand Livina itu terbalik dan melanggar kereta Proton Saga serta Toyota Camry dan motosikal yang berada di lampu isyarat laluan bertentangan.

“Kereta Perodua Bezza terbabit juga turut terbabas dan mengalami kerosakan teruk pada kenderaan itu.

“Menurut siasatan awal, pemandu Perodua Bezza itu menyatakan dia sedang mengekori neneknya yang di bawa menaiki ambulans untuk di bawa ke sebuah hospital pakar di Butterworth, Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi.

Zulkifli berkata, kejadian itu menyebabkan, pelajar lelaki yang menaiki motosikal itu mengalami kecederaan patah buku lali kaki kanan manakala pemboncengnya mengalami luka di kaki dan tangan kanan.

“Pemandu Perodua Bezza itu pula mengalami sakit di bahagian dada dan pemandu wanita yang menaiki Grand Livina itu cedera di tangan dan kepala.

“Bagaimanapun pemandu kereta Proton Saga dan Toyota Camry itu tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sementara itu salah seorang mangsa dalam kejadian itu iaitu pemandu kereta Proton Saga yang juga petugas kesihatan di Hospital Kulim berkata keretanya mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top