Lelaki pecah masuk pejabat Kopa Arena dipenjara 12 bulan, denda

Lelaki pecah masuk pejabat Kopa Arena dipenjara 12 bulan, denda

am@hmetro.com.my

Georgetown: Bekas pengawal keselamatan dihukum penjara 12 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memecah masuk pejabat Kopa Arena di kampus Universiti Sains Malaysia (USM), di sini bulan lalu.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi memerintahkan tertuduh Mohd Zulkifli Ghazali, 38, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 26 September lalu dan dia boleh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mohd Zulkifli dituduh memecah masuk premis yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta milik syarikat yang menguruskan padang sintetik serta penganjuran liga dan akademi bola sepak, 59 Kopa Arena Sdn Bhd.

Dia didakwa mencuri kamera Canon IDX Mark II, kanta kamera Canon 100-400mm, kanta kamera Canon 24-70mm, mikrofon jenama DJI serta 14 helai jersi Penang FC dengan anggaran kerugian bernilai RM20,000.

Kesalahan dilakukan di pejabat syarikat itu di USM di sini pada jam 5.09 pagi, 28 Ogos lalu, dan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Asmeeta Rajendran.

Media pada 28 Ogos lalu melaporkan, pejabat operasi Kopa Arena Penang di USM dipecah masuk menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000 apabila kenderaan rasmi, set kamera digunakan untuk liputan perlawanan, jersi pasukan dan sejumlah wang tunai lesap.

Bagaimanapun, kenderaan jenis trak Ford Raptor berlogo Penang FC itu berjaya ditemui di kawasan Changkat Bukit Gambir pada hari sama kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top