Bekas pengurus tidak mengaku palsu dokumen penempatan pekerjaan

Bekas pengurus tidak mengaku palsu dokumen penempatan pekerjaan

am@hmetro.com.my

Kangar: Bekas pengurus syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan nama peserta penempatan pekerjaan di Perlis, 10 tahun lalu.

Tertuduh, A Christopher, 48, hanya mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memalsukan dokumen Laporan Program Intervensi Kementerian Pendidikan Tinggi mengandungi senarai nama 215 graduan yang berjaya diserap untuk mengisi jawatan kosong di dua syarikat swasta, dengan niat agar dokumen palsu itu dapat digunakan untuk tujuan menipu.

Christopher didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) antara 21 hingga 29 Disember 2015, dan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis, S Sujatha manakala tertuduh diwakili peguam K Hari Krishnan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bermastautin di Perlis.

Tertuduh juga diperintah melapor diri di pejabat SPRM di Kuala Lumpur pada setiap 1 haribulan sehingga kes selesai, manakala pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan 11 November.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top