am@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Saya hilang kata-kata, jantung ‘Abe’ terhenti selama 14 minit pagi tadi,” kata Muhammad Badrul Remli, 31, bapa kepada Muhammad Ammar, 7, yang cedera parah dipukul dengan tukul.
Dia memohon orang ramai membuat solat hajat dan mendoakan kesembuhan anak sulungnya itu yang mesra dipanggil ‘Abe’ (abang).
“Saya tak boleh nak bercakap sekarang, fikiran saya tidak tahu ke mana dah,” jawabnya ringkas.
Keluarga kanak-kanak ini juga meminta diberi ruang bagi menghadapi saat-saat sukar ketika ini.
Sementara itu, ibu mangsa, Nur Ayuni Mohd Kamaruzaman, 29, berkata, mereka kini berdepan saat sukar kerana Muhammad Ammar dilaporkan kritikal selepas enam hari bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU).
Menurutnya, pagi tadi keluarga dimaklumkan jantung anaknya terhenti seketika pada jam 9.30 pagi.
“Saya masih menunggu keputusan doktor yang merawat dan buat masa ini keadaan anak masih kritikal,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian Khamis lalu, Muhammad Ammar menerima lebih 50 jahitan selepas dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya, suspek berusia 46 tahun dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Pasar Jelawat.
Mangsa mengalami retak di beberapa bahagian tempurung kepala selain otak bengkak dan luka susulan kejadian.
Sementara suspek pula ditemukan meninggal dunia di Pantai Melawi, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Berita berkaitan:
‘Abang ipar tidak pernah agresif’ – Bapa kanak-kanak parah ditukul
Suspek kes pukul anak saudara alami halusinasi, terbabit kes dadah
Kanak-kanak kritikal dipukul dengan tukul: Bapa mohon doa orang ramai
Lelaki pukul anak saudara ditemukan meninggal dunia di Pantai Melawi
Budak 7 tahun kritikal, bapa saudara pukul dengan tukul
© New Straits Times Press (M) Bhd




